Terlajak celupar, buruk padahnya

Iklan
Foto 123RF

KEBELAKANGAN ini, media sosial hangat dek isu keceluparan beberapa individu tertentu.

Seperti biasa, lepas buat salah, minta maaf. Terlanjur kata, minta maaf. Lawak hingga menggores hati orang lain pun, kemudian minta maaf.

Iklan
Iklan

Bukan mahu menidakkan permohonan maaf tersebut tetapi kesalahan itu melibatkan golongan influencer atau pempengaruh media sosial.

Mereka mempunyai pengikut yang ramai di platform komunikasi utama zaman ini.

Iklan

Media sosial adalah medium yang terkandung 1,001 kebaikan, namun harus diingat, ia juga mampu mengundang beribu keburukan jika digunakan secara salah.

Facebook misalnya, betapa ramai golongan suami yang terselamat daripada ‘bencana’ melalui fungsi On This Day yang mengulang siar apa-apa yang kita lakukan beberapa tahun lalu.

Iklan

Jadi, peratusan untuk terlupa tarikh penting atau tarikh ulang tahun perkahwinan, hari kelahiran isteri adalah rendah.

Sudah tidak relevan lagi hendak menyimpan salinan kad pengenalan diri isteri sekiranya Facebook sudah boleh menjadi reminder yang terbaik abad ini.

Sudah menjadi lumrah alam, kebaikan itu berlawanan dengannya adalah keburukan, kejahatan dan kezaliman.

Cerdik pula antonimnya tidak cerdik (yang sebenarnya berlawanan dengan dungu dan tolol).

Dalam keghairahan penciptaan kandungan, pempengaruh media sosial ini terlupa adab.

Di Kota Bharu misalnya, seorang wanita yang merupakan pengasas produk kecantikan sanggup mempersendakan Rukun Islam kedua iaitu solat.

Ibu Neelofa, Datin Noor Kartini juga tidak terlepas daripada kontroversi berkait hantaran yang didakwa dimuat naik pekerjanya di Instagram yang memperolok-olokan Sultan Johor.

Kedua-dua kes tersebut kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gurauan

Minggu lalu juga kecoh apabila Ryzal Duriankimchi dikecam netizen kerana mempersenda busana tradisional kaum Iban.

‘Gurauan’ itu mendatangkan kemarahan yang maha dahsyat dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

Mana tidaknya, sehingga anak dalam kandungan pula menjadi sasaran, didoakan yang bukan-bukan.

Perkataan dan perbuatan memperlekeh pakaian Ngepan Iban menggores perasaan etnik Iban, malah seluruh Sarawak bersolidariti mengecam tindakan tersebut.

Susulan keterlanjuran yang menyentuh sensitiviti kaum Iban itu, lelaki berusia 28 tahun itu segera meminta maaf atas gurauan tidak cerdiknya.

Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Pelbagai pandangan, teguran dan kecaman dilemparkan di media sosial.

Ada netizen bercerita tentang uniknya Ngepan Iban sehingga boleh mencecah nilai RM10,000 bagi satu set busana berkenaan.

Perkongsian yang paling menarik perhatian adalah hantaran yang dibuat pelakon, Faye Kusairi di Instagramnya.

Anak kelahiran Miri itu mengakui tergores dengan tindakan semberono pempengaruh media sosial berkenaan.

Faye menyifatkan kaum Dayak di Sarawak adalah masyarakat yang amat menghormati adat dan budaya kaum lain.

"Mereka yang dikatakan ‘kuno’ inilah yang paling pandai menghormati orang lain berbanding masyarakat yang lebih maju,” kata Faye.

Beliau turut berkongsi betapa hebat dan agungnya kerja tangan kaum berkenaan dalam proses menyiapkan busana kebanggaan masyarakat di Sarawak.

"Tahu tak ‘kain buruk’ yang awak cakap itu dibuat dengan kerja tangan dan corak (motif) pada kain diperoleh menerusi mimpi. Kemudian perlu masuk ke hutan mencari bahan untuk warnakan corak benang dan ditenun.

"Hanya mereka (penenun) yang mendapat mimpi itu sahaja yang mampu menenun berdasarkan memori pada mimpi mereka. Begitu majistik ‘kain buruk’ yang awak cakap tu,” tulis Faye lagi.

Kesimpulannya, ibarat bidalan Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Genggam kemas pesanan orang dulu-dulu, cakap siang pandang-pandang. Kerana pulut, santan binasa.

Jadikan pengajaran dan teladan yang ‘ditempek ke dahi’ agar tidak berulang.

* Adila Sharinni Wahid ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan