PASIR GUDANG - Selepas mengetahui cucu yang merupakan salah seorang petugas barisan hadapan ‘sudah selamat’ mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas, Jusoh Teh, 84, terdorong untuk mendapatkan vaksin berkenaan.
Cucunya, Muhammad Nuur Mohd Ariffin yang bertugas di bahagian kesihatan awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mendaftarkan datuk dan neneknya sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.
"Saya uruskan daftar vaksin datuk dan nenek melalui aplikasi MySejahtera dari Pasir Gudang.
"Apabila tarikh janji temu diperoleh, saya minta kawan sekampung, Ahmad Nazrul Muhammad untuk tolong hantar datuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, Besut,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, walaupun mengambil tempoh selama tiga jam berada di PPV, datuknya kelihatan teruja dan bersemangat untuk divaksinkan.
Muhammad Nuur berkongsi, datuknya bersemangat untuk divaksin apabila yakin dengan proses itu yang tidak mendatangkan kemudaratan terhadap penerima.
"Datuk tengok keadaan saya baik-baik saja selepas tiga bulan mendapat suntikan Pfizer.
"Datuk siap berpesan lagi kepada kawan-kawan seusianya, jangan takut untuk ambil vaksin dan tanya kepada yang pakar jika ada apa-apa yang tidak difahami serta jangan mudah percayakan dakyah-dakyah tidak betul disebarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Muhammad Nuur berkata, datuknya menerima vaksin jenis Sinovac untuk dos pertama pada Selasa.
Jelasnya, walaupun datuknya berusia tetapi dia sangat cergas dan cerdas.
"Dalam kad pengenalan umurnya 84 tahun, tapi umur sebenar datuk saya ialah 97 tahun,” katanya sambil tersenyum.