SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yakin semua pihak akan bersetuju dengan pandangan bahawa pandemik Covid-19 ini umpama satu peperangan besar.
Beliau sehubungan itu berkata, semua pihak khususnya rakyat perlu berdepan dengan peperangan dalam memerangi pandemik Covid-19 dalam satu pasukan sebagai satu kapal.
"Sekarang ini (kita) ada kekurangan dan kelompangan (dalam menangani Covid-19) dan ia betul sebab ia satu benda yang besar dan mungkin kali pertama kita berhadapan dengan situasi yang sebesar ini.
"Namun sekarang ini bukan masa untuk menunding jari kepada siapa yang salah dan yang penting kita kena buat sama-sama untuk kita melangkah selesaikan pandemik ini. Kita dalam satu kapal jangan tebuk kapal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-262 bertajuk ‘Cabaran Covid-19 #KitaLaluiBersama' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Wacana turut menampilkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Rahman sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, Pas amat bersetuju apabila kerajaan membuat keputusan supaya kasino dan kilang arak ditutup ketika ini kerana ia bukan perkhidmatan yang perlu dibuka pada waktu darurat.
Menurutnya, Pas konsisten apabila ia menyentuh dua isu berkenaan bahawa tiada keperluan perkhidmatan berkenaan dibuka malah parti itu juga meminta ia ditutup sejak isu yang sama berlegar pada tahun lalu.
"Alhamdulillah pandangan kita itu diterima dengan segera (selepas sehari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0) dan ia ditutup keesokan harinya.
"Jadi dalam waktu ini adalah waktu saya kira mana-mana pihak, orang dalam kerajaan atau dalam pembangkang atau sesiapa pun, ini bukan masanya kita tonjolkan siapa hebat atau siapa hero. Kalau ia memudaratkan semua, rakyat dan masyarakat kita kena hentikan, tutup terutama kasino," katanya.
Beliau menyifatkan dua perkhidmatan berkenaan tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika darurat dan kerajaan wajar diberikan teguran sekiranya kekurangan dan kelemahan seperti itu berlaku.
"Tiada manfaat kita kena pergi kasino pada masa darurat begini, begitu juga dengan kilang arak. Orang minum sirap pun boleh hidup tidak semestinya kena minum arak.
"Benda-benda begini saya kira kalau ada kekurangan dan kesalahan di pihak kerajaan atau di pihak menteri-menteri tertentu dia kena perbaiki kesilapan agar kelemahan ini tidak berulang pada masa akan datang.
"Rakyat memerhati dan melihat. Jadi kalau kerajaan sendiri salah kena perbetulkan, kalau pandangan baik dan diterima semua pihak dengan situasi sekarang tiada masalahnya. Itu saya sebut tadi sebagai satu kapal," katanya.