Berbasikal hantar makanan, Syamil tidak malu dengan kerjaya pertama

Iklan
Muhammad Syamil tidak pernah malu dengan kerjayanya dan menganggap rezeki itu sentiasa ada.

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki sanggup mengayuh basikal sejauh dua kilometer setiap hari bagi memastikan dia dapat menghantar makanan kepada pelanggan terutama dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Muhammad Syamil Mansor, 19, dari Kampung Jalan Kemunting, Pasir Puteh itu mengakui tidak pernah malu atau putus asa kerana usaha itu adalah satu-satunya cara untuk dia mendapatkan rezeki ketika ini.

Iklan
Iklan

Pelajar lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dari Kolej Vokasional Kuala Krai (KVKK) itu akan menunggang motosikalnya dari Pasir Puteh ke Kota Bharu dan parkir di sebuah pasar raya di bandar.

Pemuda itu kemudiannya akan memulakan tugas pada 10 pagi sehingga 5 petang dengan berbasikal, sebelum 'bertukar' kenderaan untuk kembali pulang ke Pasir Puteh.

Iklan

Menceritakan detik bermula tugasan tersebut, Syamil berkata, dia menjadikan abang keduanya yang juga berkhidmat sebagai penghantar makanan di Pahang sebagai idola dan melupakan perasaan takut serta bimbang dengan keadaan sekeliling.

"Abang saya bekerja di Pahang dan dia sangat gembira, puas hati walaupun letih. Kulit pun berubah gelap sebab cuaca panas. Abang saya pernah berkongsi pengalaman membuatkan saya tertarik untuk mencuba.

Iklan

"Saya ingin mencuba kerjaya yang sama dan bila buat permohonan di sini, kata mereka jawatan untuk 'rider' dengan motosikal sudah penuh, hanya untuk 'walker' iaitu melibatkan penghantaran makanan dengan jarak tidak lebih daripada dua kilometer.

"Pada mulanya saya agak keliru untuk memilih sama ada mahu meneruskan kerja atau sebaliknya tetapi percubaan minggu pertama saya hanya berjalan kaki," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Susah dahulu senang kemudian, antara falsafah yang digunakan Muhammad Syamil untuk sentiasa memotivasikan dirinya dalam kerjaya yang dilakukan.

Menurut Muhammad Syamil, dia kemudiannya memilih untuk berbasikal kerana lebih menjimatkan masa.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu hasrat kepada keluarga untuk membeli basikal dan berkat kesungguhan itu, dia dapat membeli basikal berkenaan hasil wang simpanan dan bantuan daripada bapanya.

Kini, pemuda itu dapat menarik nafas lega dengan kesungguhannya sejak dua bulan lalu kerana sekurang-kurangnya pendapatan yang diperoleh dapat membantu bapanya, Mansor Mahmud, 52, yang hanya bekerja sebagai buruh di sebuah kedai perkakasan dan ibunya, Rohani Mustafa, 53, yang hanya suri rumah.

Walaupun banyak pihak menyuarakan pendapat mengenai kerjaya penghantar makanan, namun Muhammad Syamil tetap cekal bekerja menimba pengalaman kerana itulah kerja pertamanya selepas tamat belajar.

Katanya, tidak kurang juga yang mahu menawarkan dia motosikal tetapi ia akan menjadi pembakar semangat buatnya, tambahan pula setiap kali menghantar makanan, dia sering dipuji pelanggan.

Tambahnya, ada pelanggan yang prihatin bertanya jika dia mengalami masalah kenderaan kerana mahu membatalkan pesanan atau mengambilnya sendiri.

"Memang mereka teruja sebab mungkin sebelum ini kerjaya ini banyak menggunakan motosikal tetapi apa salahnya kita mencuba. Lagipun setiap kayuhan ini menghasilkan pahala tambahan pula jika mereka yang tempah makanan itu untuk anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

"Apa pun saya lakukan, keluarga selalu berpesan, niat di hati itu paling penting. Setiap kerja ada ujian dan cabaran, maka lalui dengan tenang dan sabar. Itulah yang menjadi kekuatan saya setiap kali berdepan situasi panas, hujan dan ribut," katanya.