KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan tiga penjaja warga Myanmar di sekitar kawasan luar Pasar Harian Selayang, pada Khamis.
Menerusi kemaskini di Facebook pada Jumaat, DBKL memaklumkan tiga penjaja warga asing itu yang menjual sayur-sayuran dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1).
Katanya, menerusi rondaan dan pemantauan dilakukan anggota penguatkuasa DBKL, penjaja warga asing itu dikenal pasti memulakan operasi perniagaan mereka seawal jam 8 pagi.
"Tindakan yang diambil ini adalah memastikan tidak berlaku halangan trafik di luar pasar ini ekoran operasi perniagaan itu," katanya.
Dalam pada itu, DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan tiada warga asing mengambil kesempatan berniaga di luar kawasan pasar itu.
Tambahnya, orang ramai disaran memberi kerjasama dengan melaporkan aktiviti warga asing ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil oleh DBKL.
"Maklumat boleh dipanjangkan ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255," katanya.