BIARPUN terlepas beberapa aksi persahabatan kerana, namun pengendali England Gareth Southgate dijangka tetap mahu menyenaraikan Jordan Henderson dalam senarai 26 pemain yang bakal beraksi di Euro 2020 kelak.
Menurut Southgate, Henderson yang sudah tidak beraksi sejak Februari setelah menjalani pembedahan pembedahan pangkal paha pada Februari kini dilihat berusah keras mengembalikan kecergasannya pada tahap terbaik.
Justeru Southgate berkata, pihaknya kini merancang untuk menurunkan kapten Liverpool itu pada aksi persahabatan berdepan Romania Ahad ini sebagai persiapan terakhir menjelang aksi pembukaan berdepan Croatia 13 Jun depan.
"Berdasarkan perkembangan terkini dia (Henderson) dilihat perlu terus berada bersama pasukan dan tidak wajar diketepikan.
"Bagi saya, keputusan untuk menyenaraikan Henderson adalah kerana dia (Henderson) adalah pemain penting dan memiliki pengaruh besar kepada pemain lain.
"Oleh itu, kelibat Henderson ketika berdepan Croatia nanti ia ibarat ‘bonus besar’ buat pasukan dalam melakar kejayaan sulung pada Euro kali ini,” katanya.
Untuk rekod, Henderson tidak diturunkan ketika England mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Austria pada aksi persahabatan pada awal pagi Rabu lalu.
Justeru, pemain berusia 31 tahun dijangka bakal beraksi ketika berdepan Romania Ahad ini setelah lebih tiga bulan tidak beraksi secara kompetitif.
Sementara itu Southgate mengakui dia agak ragu-ragu berhubung kecergasan sebenar Henderson menjelang aksi persahabatan berdepan Romania, pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, adalah tidak adil untuk menyisihkan Henderson walaupun dia telah terlepas banyak aksi persahabatan sebelum ini.
"Henderson juga banyak terlepas mengikuti sesi latihan. Namun saya optimis dan realistik dengan kehadirannya bersama pasukan kali ini.
"Lagi pun selain Henderson, pemain seperti Harry Maguire, Trent Alexander-Arnorld turut dilanda kecederaan ketika ini,” katanya.