Ingkar SOP, pemilik pusat urut dikompaun RM10,000

Iklan
Sebuah pusat urut di Taman Melaka Raya, Melaka diserbu pada Khamis dan pemiliknya dikompaun RM10,000 kerana beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh. - Foto: Ihsan PDRM

MELAKA - Pemilik sebuah pusat urut di Taman Melaka Raya, di sini dikenakan kompaun RM10,000 selepas didapati beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tindakan kompaun itu dikeluarkan selepas premis berkenaan diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira jam 3 petang Khamis.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan itu, lima individu termasuk tiga wanita warga asing yang juga tukang urut berusia antara 23 hingga 53 tahun ditahan.

"Dua daripada tukang urut itu merupakan warga Thailand dan seorang warga Laos manakala pemilik dan penjaga premis masing-masing berusia 48 dan 53 tahun adalah lelaki tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati premis ini beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh khas untuk pelanggan tetap dan tempahan dilakukan melalui telefon.

"Selain itu, pemilik memberi alasan tindakannya membuka perniagaan tersebut adalah untuk kelangsungan hidup dan menampung perbelanjaan seperti sewa premis.

Iklan

"Hasil semakan juga mendapati dua daripada tukang urut itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana pasport telah tamat tempoh.

"Polis turut merampas buku catatan rekod pekerja dan juga pasport milik tukang urut berkenaan," katanya.

Katanya, kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

"Kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas pemilik premis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala penjaga premis dikompaun RM2,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Pemilik premis itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut," katanya.