Malaysia beri kelulusan pengilang AstraZeneca di Thailand

Iklan
Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand akan menjadi pengeluar bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia memberi kelulusan bersyarat kepada pengilang kedua vaksin AstraZeneca, Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand bagi produk Vaccine AstraZeneca Solution for Injection.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bersidang pada Jumaat (hari ini).

Iklan
Iklan

"Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana kepada produk tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pengilang itu merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

Iklan

"Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada kilang ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas," katanya.

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran secara bersyarat memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

Iklan

"Ini bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat dan risiko vaksin kekal positif," katanya.

Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B V Netherlands pada 2 Mac lalu yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara Eropah.

Perolehan vaksin dibuat melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti Covax.

Negara mula menerima bekalan di bawah fasiliti Covax pada April lalu.

Sementara itu, pada mesyuarat sama, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat produk Ravida Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg).

"Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk Ravida untuk digunakan secara kombinasi dengan ubat lain bagi merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa," katanya.

Menurutnya, produk itu dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali manakala Pharmaniaga Manufacturing Berhad merupakan pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia.

"Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskannya menjelang tahun 2030.

"Bagaimanapun, pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini memerlukan kos yang tinggi.

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan yang berkesan dengan kos yang lebih berpatutan," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 telah dibangunkan oleh KKM untuk merangka hala tuju yang jelas dan memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B dan C dapat dicapai.