TNB pastikan bekalan elektrik di lima PPV mega dalam keadaan baik

Iklan
Wan Nazmy Wan Mahmood

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memulakan persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega yang akan dibuka di Lembah Klang berada dalam keadaan baik.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pihaknya telah mengatur beberapa persediaan sebaik sahaja pengumuman pembukaan mengenai PPV mega dibuat baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Antaranya semakan dan pemantauan bagi memastikan sistem bekalan di lima lokasi berkenaan berada dalam keadaan teratur dan berdaya harap.

"Bagi lokasi yang mana pemasangan TNB perlu dinaik taraf bagi membolehkan pemantauan dan kawalan bekalan dibuat secara jarak jauh, kerja naik taraf sedang dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada 30 Mei lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pembukaan lima PPV mega mulai 7 Jun.

Pembukaan itu melibatkan tiga di Selangor iaitu Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City manakala dua lagi di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Nazmy menambah, TNB mendapat kerjasama dan sokongan baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak pengurusan 382 PPV sedia ada serta lima lagi yang akan dibuka dalam usaha memastikan bekalan elektrik kepada PPV teratur sepanjang program imunisasi.

"Kami amat berterima kasih kepada KKM, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak lain. Alhamdulillah sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari, insiden gangguan bekalan di PPV dan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) amat minimum dan dapat dipulihkan dengan pantas.

"Menjadi keutamaan kami untuk memulihkan bekalan kepada PPV dan 40 PSV jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

"Kami juga sentiasa menyemak status bekalan di PPV dan PSV agar langkah segera dapat diambil bagi mengelakkan gangguan terjadi,” katanya.