Hampir sejuta usahawan berisiko gulung tikar jika PKP diteruskan

Iklan
Wan Junaidi

SHAH ALAM- Hampir satu juta atau lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, majoriti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta usahawan informal daripada pelbagai sektor ekonomi merasa gusar dengan kelangsungan operasi perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

Ia adalah berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Mac lalu kepada seramai 3,855 responden.

Tambahnya, sebanyak 54 peratus terutamanya perusahaan mikro menyatakan hanya mampu bertahan di antara tiga hingga enam bulan sahaja.

Iklan

"Keadaan ini dikhuatiri akan menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk di Malaysia. Perusahaan mikro dan informal yang paling teruk terjejas.

"Ini kerana produk dan perkhidmatan mereka adalah dalam sektor bukan keperluan dan mereka juga tidak mempunyai simpanan dan aliran tunai yang kukuh. Walaupun nilai sumbangan ekonomi yang diberikan agak kecil, bilangan usahawan mikro dan informal adalah antara yang terbesar di negara ini.

Iklan

"Bantuan yang bersesuaian perlu diberi bagi membantu usahawan mikro serta informal, dan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) dijangka mampu menyokong daya tahan golongan ini sepanjang tempoh 'lockdown' dilaksanakan.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM340 bilion dalam pelbagai pakej rangsangan ekonomi bagi membantu mengurangkan impak PKP, namun sehingga kini ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya,” katanya semasa sidang media berkaitan laporan kaji selidik impak pelaksanaan PKP terhadap usahawan secara dalam talian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majoriti responden iaitu 58 peratus adalah daripada perusahaan mikro manakala bakinya adalah perusahaan kecil, dan sederhana, koperasi dan informal.

Menurut Wan Junaidi, kaji selidik juga mendapati 72 peratus usahawan menjangkakan perniagaan akan terus mengalami kerugian.

Tegasnya, MEDAC telah mengenal pasti langkah intervensi yang bersesuaian untuk dilaksanakan bagi membantu usahawan menangani impak PKP.

"Antaranya ialah meneruskan pelaksanaan langkah intervensi di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi MEDAC, bantuan pembiayaan dan moratorium secara bersasar.

"MEDAC juga akan melaksanakan siri kaji selidik seterusnya selepas dua minggu tempoh 'lockdown' dilaksanakan. Ini bagi menilai impak lanjut yang dihadapi oleh usahawan termasuk langkah keberkesanan intervensi yang dilaksanakan oleh kerajaan.” ujarnya.

Dalam pada itu, kaji selidik yang dilaksanakan MEDAC ke atas pengguna pula mendapati PKP turut memberi kesan negatif ke atas kehidupan rakyat.

"Ia berbeza mengikut kumpulan pendapatan yang mana golongan B40 lebih terkesan dengan isu kewangan, manakala golongan M40 dan T20 terkesan dengan isu sosial,” ujarnya.

Selain itu, katanya, dalam kaji selidik yang melibatkan seramai 2,888 responden dalam tempoh yang sama mendapati pekerja yang bekerja di sektor swasta merupakan kategori yang paling berisiko tinggi untuk diberhentikan kerja.

Menurut beliau, lebih 50 peratus daripada kumpulan B40 dan hampir 50 peratus kumpulan M40 telah mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10 hingga 30 peratus akibat penguatkuasaan PKP.

"Sebanyak 30 peratus daripada kumpulan T20 telah mengalami pengurangan pendapatan lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Beliau menasihati agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan memainkan peranan dalam menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing melalui pengambilan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Sokongan kepada pelaksanaan program ini akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan mengembalikan semula kualiti kehidupan rakyat yang teruk terjejas ketika pandemik,” katanya.