NILAI - Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak terlibat dalam pemberian kelulusan operasi sektor dan perjalanan untuk bekerja menerusi Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata, kementerian itu lebih berperanan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan mempunyai kuasa untuk mengarahkan penutupan operasi syarikat tertentu yang didapati gagal mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita lebih kepada tindakan penguatkuasaan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh beri kelulusan tetapi KSM boleh memberi arahan penutupan jika didapati berlaku pelanggaran prosedur standard operasi (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
"Sesiapa saja boleh suruh buka, tapi hanya saya yang boleh suruh tutup. Jadi, siapa yang lebih berkuasa sama ada yang memberi kebenaran buka atau yang mengarahkan ia ditutup?" katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemantauan Operasi Pematuhan Akta 446 dan SOP PKP 3.0 di kilang kotak di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita kenapa KSM tiada dalam senarai kementerian yang terlibat dalam pemprosesan permohonan syarikat di CIMS 3.0 yang dikendalikan oleh MITI.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan MITI bukan penentu tunggal untuk memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.
Selain itu katanya, dari tempoh 25 Mei sehingga Khamis, sebanyak 1,120 aduan diterima berkaitan majikan memaksa pekerja bekerja lebih masa serta melebihi had kehadiran ditetapkan MKN.
"Dalam keadaan begini majikan jangan ambil kesempatan. Jika kita terpaksa ambil tindakan, jangan pula salahkan kerajaan. Selagi tiada komitmen dan keikhlasan semua pihak dalam mematuhi arahan ditetapkan, kita tidak akan berjaya," katanya.
Ujarnya, KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja telah melakukan pemeriksaan terhadap 19,010 majikan membabitkan sejumlah 106,593 buah penginapan pekerja di seluruh negara setakat ini.
Katanya sebanyak 742 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai kesalahan.
"Sebanyak 125 kertas siasatan didakwa di Mahkamah Sesyen di seluruh negara manakala 49 kes pendakwaan selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM352,000.
"Selain itu, sebanyak 265 kertas siasatan telah diberi izin kompaun melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM2,314,000 terhadap majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446," katanya.