KOTA BHARU – Sebanyak 1,598 usahawan terlibat dalam Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah tersebut melibatkan 42 PST di seluruh negara yang beroperasi di Pasar Tani Kekal, Agrobazar, MyFarm Outlet dan Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang terpilih.
Beliau memberitahu, walaupun ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh sejak empat hari lalu, namun kerajaan sentiasa memastikan operasi PST di seluruh negara mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"Saya memuji usaha usahawan kita memasarkan produk mereka walaupun dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh masa kini. Kerajaan juga sentiasa berusaha memastikan proses rantaian makanan boleh beroperasi dengan baik," katanya ketika menyampaikan ucapan melalui alat pembesar suara di PST Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pagi Jumaat.
Che Abdullah turut mengingatkan masyarakat supaya memberi kerjasama sebaiknya dengan menjaga SOP bagi menghalang penularan Covid-19.
Beliau sebelum itu meluangkan masa meninjau kawasan PST selain bertemu peniaga dan pengunjung yang ada di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, pegawai dan petugas yang mengawal selia PST perlu memastikan aspek penjagaan diberikan perhatian khusus supaya ia dapat membantu mendisiplinkan peniaga dan pembeli yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau juga mahu pengunjung mendaftar dan mengambil vaksin kerana penerimaan vaksin di Kelantan masih berada di tahap yang membimbangkan.
"Saya juga berharap semua rakyat akan keluar mengambil vaksinasi masing-masing. Setahu saya, orang Kelantan pantang mengalah, tidak pernah takut dengan jarum yang sekecil itu. Ambillah vaksin sebaik mungkin sebagaimana arahan kerajaan.
"Ke mana sahaja saya pergi, seluruh dunia, orang Kelantan di antara mereka yang bijak pandai, jadi saya yakin kita tidak akan mudah terpedaya dengan pandangan negatif sesetengah pihak mengenai keburukan menerima vaksin.
"Kita kena buktikan yang orang Kelantan berani, cerdik dan bertanggungjawab melakukan arahan kerajaan ke arah kebaikan bersama,” katanya.