Vaksinasi tertinggi dicatat selepas 100 hari dilancarkan

Iklan
Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi pada Khamis dengan pemberian sebanyak 117,563 dos selepas 100 hari ia dilaksanakan bermula 24 Februari lalu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, daripada keseluruhan dos yang diberikan pada khamis, seramai 109,827 individu mendapat suntikan pertama, manakala 7,736 lagi menerima dos kedua.

Iklan
Iklan

"Jumlah ini (pemberian dos vaksin) akan terus meningkat," demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Setakat Khamis, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436.

Iklan

Pada Khamis, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu. -Bernama

Iklan