BOTA - Tindakan pemimpin PH termasuk menterinya sering melakukan pusingan U dengan kenyataan dikeluarkan mungkin disebabkan tiada kesepakatan antara mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, pihaknya juga percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan situasi berkenaan.
"Dalam kerajaan mesti mempunyai dasar yang jelas dan bukan dasar yang 'flip flop', bila orang marah-marah nak 'u-turn'.
"Saya ingat Tun sendiri sebagai perdana menteri tidak gembira dengan keadaan ini, tapi nak buat macam mana," katanya selepas hadir pada Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bahagian Parit 2019 di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan, hari ini.
Menurutnya, sebelum sesuatu dasar diumumkan, kajian terperinci perlu dilakukan dan bukan mengambil tindakan melulu dengan mengubahnya apabila rakyat marah.
"Macam Menteri Wilayah, Khalid Samad cakap nak tutup Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bila rakyat marah dia kata tak tutup.
"Semalam dia marah stesen televisyen dia kata media yang salah quote, lepas tu kata 15 Mac ini baru ada keputusan. Dia tidak boleh buat dasar polisi kerajaan macam tu kerana kerajaan boleh diperlekehkan," katanya.
Mahadzir juga turut menegur tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang tidak tepat menyalurkan maklumat berkenaan pembinaan salah sebuah sekolah kebangsaan di Semenyih.
"Sekolah itu sudah tender pada April 2018, Maszlee pergi umum Unit Perancangan Ekonomi (EPU) baru lulus Disember 2018, kemudian netizen kongsi gambar bila tender sebenar.
"Apa susah, cakap saja ini dibuat kerajaan dahulu dan kami hanya sambung. Mereka tidak boleh suka-suka ubah sebab ia melibatkan dasar," katanya.