SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekali lagi menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan semua parti politik yang memegang prinsip sama dalam mendepani pandemik Covid-19 yang semakin serius ketika ini.
Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, sudah tiba masanya semua parti pembangkang duduk semeja bagi menggembleng satu usaha bersepadu.
"Negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang bukan sahaja pandai bercakap tetapi perlu ada tindakan progresif dengan semangat berbilang bangsa selain menghormati martabat manusia.
"Atas semangat ini, Muda sekali lagi menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan semua parti politik yang memegang prinsip sama, termasuk semua parti dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amir berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun lalu dilihat tidak serius dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bertukar-tukar sehingga saat akhir.
Katanya, ia diburukkan lagi dengan ‘perbalahan dalaman’ yang kini menjadi tontonan umum lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang sengsara.
"Walaupun PKP 3.0 telah diumumkan, lebih 128,000 syarikat masih dibenarkan beroperasi. Ini sudah tentu membahayakan nyawa rakyat.
"Bantuan yang diumum juga tidak menyeluruh, moratorium automatik tidak dilaksanakan selain vaksin yang lambat menjadikan rakyat panik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Parlimen juga masih tidak dapat bersidang sehingga sekarang, walaupun terdapat titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membenarkan ia bersidang pada 24 Februari lalu.
Justeru, Muda menggesa semua parti politik khususnya pihak pembangkang bekerjasama dalam menggalas tanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan sekali gus mengambil langkah yang proaktif.