KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menganggap jumlah 1.7 juta kakitangan awam ketika ini sebagai terlalu besar.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sebaliknya ia seiring dengan peningkatan jumlah keseluruhan rakyat ketika ini serta keperluan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan (polis dan tentera).
Bagaimanapun, katanya, pihaknya menghormati pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jumlah itu terlalu besar berbanding hanya sejuta orang pada 2003.
"Angka sejuta itu berpandukan pada tahun 2003 semasa Tun Mahathir meninggalkan kerajaan. Ketika itu, rakyat hanya ada 16 juta tetapi sekarang dah bertambah kepada 32 juta.
"Dalam tempoh 16 tahun ini banyak sekolah, hospital, balai polis dan pusat kawalan tentera dibina bagi memenuhi bilangan rakyat yang semakin bertambah. Bagi Cuepacs, angka 1.7 juta penjawat awam ini tidaklah besar," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Hari ini, Dr Mahathir dalam program di Kementerian Pertahanan berkata, jumlah 1.7 juta kakitangan awam terlalu besar dan perlu dikurangkan.
ARTIKEL BERKAITAN:Saiz penjawat awam terlalu besar, perlu dikurangkan: Tun M
Mengulas lanjut, Azih berkata, angka 1.7 juta itu juga belum mencukupi kerana terdapat banyak sektor di perkhidmatan awam yang masih memerlukan tambahan kakitangan.
"Misalnya, hasil lawatan kami di hospital kerajaan mendapati kakitangan hospital tidak bertambah tetapi pelanggan meningkat. Di klinik harian pun ramai pesakit tapi yang kerja tak ramai.
"Kakitangan semakin tertekan hingga nak makan dan minum pun tak sempat. Bayangkan kalau kurang lagi kakitangan, macam mana?," katanya.
Justeru, katanya, Cuepacs berharap kerajaan akan mengekalkan jumlah penjawat awam dan bukan mengurangkan saiznya.
"Kami percaya dengan jumlah penjawat awam yang ada membolehkan negara kita maju," katanya.