Kematian meningkat, bomba bantu kebumi mangsa Covid-19

Iklan
Anggota bomba membantu urusan pengebumian mangsa Covid-19 di tanah perkuburan Jalan Pusara, di Kuala Terengganu pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu bersiap siaga melakukan tugas khas bagi membantu urusan pengebumian mangsa Covid-19 yang direkodkan berlaku hampir saban hari kebelakangan ini.

Ketua Balainya, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sehingga kini terdapat 10 kematian yang di uruskan pihak bomba di daerah itu sejak 24 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Kematian dilaporkan berlaku hampir saban hari dan pihak bomba bersiap siaga dalam membantu urusan pengebumian mangsa Covid-19 yang meninggal dunia dengan kerjasama kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Katanya, seramai 10 anggota ditugaskan bagi tugas khas pengebumian mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic).

Iklan

"Anggota terlibat dalam urusan pengebumian diwajibkan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap dan melakukan proses sanitasi sebaik tugas selesai.

"Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, jumlah anggota bomba bertugas bagi daerah Kuala Terengganu mencukupi dan tiada cuti dibekukan setakat ini.

"Jumlah anggota bomba yang mengambil cuti juga minimum susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Kuala Terengganu buat masa ini," katanya.

Sebanyak 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu dikenakan PKPD sejak 30 Mei hingga 12 Jun susulan peningkatan 370 peratus kes Covid-19 di semua lokaliti terlibat sejak Mei.

Sementara itu, sehingga Jumaat, terdapat 52 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Terengganu sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac 2020.