Pesuruhjaya Kehakiman tarik diri dengar kes saman 1MDB

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang lagi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, menarik diri daripada mendengar kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat entiti lain terhadap 15 individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai dari Tetuan Skrine & Co yang mewakili 1MDB memaklumkan perkara itu ketika dihubungi pemberita selepas pendengaran permohonan 1MDB secara dalam talian (Zoom) pada Jumaat supaya Adlin Abdul Majid menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Iklan
Iklan

"Yang Arif Adlin telah menarik diri daripada mendengar kes ini berikutan beliau adalah rakan kongsi Tetuan Lee Hishamuddin Allen & Gledhill (LHAG) di mana peguam Datuk DP Naban dan Rosli Dahlan sebelum ini merupakan rakan kongsi LHAG dari Januari 2005 hingga Februari 2020.

"Mereka (DP Naban dan Rosli) akan bertindak sebagai peguam dalam kes ini bersama dengan peguam daripada Tetuan Skrine," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa kes berkenaan akan didengar di hadapan hakim lain.

Iklan

Selasa lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Liza Chan Sow Keng telah menarik diri daripada mendengar kes saman difailkan 1MDB terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners serta kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Najib dan enam lagi.

Pada 7 Mei lepas, 1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif memfailkan saman terhadap Najib dan bekas pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram selaku defendan.

Iklan

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan Radhi Mohamad selain bekas pegawai 1MDB iaitu Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Menerusi writ saman itu, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan telah melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 1 Julai ini untuk pengurusan kes saman SRC International terhadap Najib dan enam lain atas dakwaan melakukan pecah amanah serta melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan SRC telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan. - Bernama