BERIKUTAN kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi Jumaat, barisan pemain skuad Harimau Malaya menerima kritikan hebat terutamanya pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.
Penyerang kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu dilihat seolah-olah tidak bersemangat sepanjang 90 minit perlawanan dan dianggap ‘hilang’ dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel itu kerana kelibatnya jarang kelihatan.
Pelbagai hasut maya (troll) tersebar di media sosial yang mengecam pemain itu termasuk mahu menjualnya di portal e-dagang dengan harga serendah 50 sen.
Ramai peminat bola sepak tanah air, mempersoalkan mengapa de Paula, tidak digantikan dengan pemain lain, yang mampu beraksi dengan lebih baik.
Namun, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tampil menjelaskan bahawa de Paula terus diberi peluang untuk beraksi sepanjang 90 minit perlawanan itu kerana barisan kejurulatihan percaya pemain itu mampu menjaringkan gol penyamaan.
"Kita percaya dengan fizikalnya dan kita tahu beliau mempunyai penyudah yang baik. Kita fikir positif kerana waktu itu kita ketinggalan 1-0, jadi boleh dapat gol penyamaan menerusi de Paula,” katanya ketika sidang media secara maya dari Dubai, hari ini.
Ditanya jika pemain itu akan terus diberi peluang dalam kesebelasan utama pada baki dua aksi menentang Vietnam pada Jumaat depan (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), Cheng Hoe berkata, pihaknya sedang berbincang dan mencari gandingan pemain terbaik untuk aksi tersebut.
"Saya rasa bagi keseluruhan perlawanan itu, kita tak dapat salahkan satu atau dua pemain sahaja, rata-rata pemain juga tidak berada pada tahap terbaik,” katanya, sambil menambah persediaan skuad UAE jauh lebih baik berbanding Malaysia yang hanya dua minggu menjalani latihan.
Cabaran seterusnya bagi Cheng Hoe adalah meningkatkan motivasi dan semangat barisan pemain untuk dua perlawanan wajib menang itu, selepas melihat keadaan mereka yang kecewa dan muram ketika sesi sarapan pagi tadi.
Sementara itu, Cheng Hoe memberikan pujian kepada barisan pertahanan negara, terutamanya pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia Dion Cools yang cepat menyesuaikan diri pada penampilan pertama bersama skuad negara untuk mematahkan beberapa percubaan UAE.
"Dengan pengalaman bersaing di tahap tertinggi Eropah, tahap ketenangannya, taktikal, teknikal dan membaca rentak perlawanan bagus.
"Harap beliau dapat meningkatkan keseimbangan pasukan dan mampu beri tunjuk ajar kepada pemain muda supaya masa depan bola sepak lebih cerah untuk tampak lebih yakin bertemu pasukan yang jauh lebih baik,” katanya. - Bernama