PH cadang semua klinik kesihatan jadi pusat vaksin

Iklan
Mujahid

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak mencadangkan semua klinik kesihatan di Perak dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai tambahan PPV sedia ada.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, cadangan itu dibuat bagi memudahkan akses penduduk mendapatkan vaksin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tujuan berkenaan, kerajaan Perak digesa lebih agresif untuk memastikan 80 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok dengan cepat.

"Jika usaha tidak dipacu dengan lebih giat akan melambatkan sasaran 80 peratus yang sepatutnya dijangka dicapai pada hujung tahun 2021. Lebih lambat imuniti berkelompok tercapai, risikonya ialah lebih banyak nyawa rakyat yang akan terancam.

Iklan

"Kami mengharapkan supaya matlamat mencapai 80 peratus imuniti berkelompok dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak demi menyelamat nyawa rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia umumnya," katanya dalam kenyataan akhbar bersama Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Jumaat.

Sementara itu, beliau mencadangkan semua pusat khidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu kempen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Iklan

Menurutnya, semua wakil rakyat PH turut digesa untuk menjayakan misi besar berkenaan di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, pihaknya mengharapkan supaya kerajaan menyediakan pendaftaran lebih mudah bagi program vaksinasi berkenaan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Jumaat mengumumkan lima inisiatif baharu yang memberi fokus pemberian vaksin kepada rakyat dalam usaha mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Antara yang diumumkan termasuk meningkatkan sasaran sebanyak 15,000 suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat Perak setiap hari pada bulan Jun berbanding 8,000 suntikan sebelum ini.