Tak sangka Harimau Malaya tumbang

Iklan
Liridon Krasniqi diasak pemain UAE dalam aksi di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat. FOTO: FB FAM

BARISAN pengurusan Harimau Malaya sendiri tidak menyangka, skuad kebangsaan akan mempamerkan prestasi hambar menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga diaibkan 4-0 di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Yusoff Mahadi berkata kehadiran ‘nama-nama besar’ bola sepak tanah air dalam pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu meningkatkan keyakinan pihaknya untuk mereka mampu memberi tentangan kepada skuad ‘The Whites’ pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Iklan
Iklan

Turun dengan harapan untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri pada aksi tersebut, beliau mengakui terkejut melihat pasukan negara rebah pada 10 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan UAE menghukum dengan tiga gol dalam tempoh itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, antara sebab skuad Harimau Malaya tidak dapat menampilkan aksi terbaik adalah disebabkan kekurangan keserasian antara pemain dan kelekaan ketika ghairah cuba mendapatkan gol penyamaan.

Iklan

"Malangnya barisan pemain tengah dan serangan tidak begitu menonjol. Kualiti barisan pemain kali ini lebih baik berbanding sebelum ini, tetapi tidak mampu beraksi sebagai satu pasukan dan mengikuti taktikal jurulatih.

"Pemain seperti tidak menunjukkan kesungguhan yang kita harapkan dan beraksi dengan agresif. Kita akan buat bedah siasat dengan barisan jurulatih bagi mencari penyelesaian terbaik untuk tampil dengan semangat berlainan dalam dua aksi penting selepas ini,” katanya ketika sidang media secara maya dari Dubai pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, kekangan masa untuk membuat persiapan menerusi latihan sebagai satu pasukan dan perlawanan persahabatan di sebalik pandemik Covid-19, turut memainkan faktor susulan prestasi hambar itu.

Pada aksi tersebut, penyerang berbisa UAE, Ali Mabkhtout dan pemain naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima masing-masing menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff memberikan pujian kepada benteng pertahanan negara dan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias yang banyak mematahkan serangan berbahaya UAE sebelum akur dengan kelebihan pasukan Timur Tengah itu.

"Kehadiran (pemain kacukan Belgium-Malaysia) Dion Cools juga menambah kekuatan di pertahanan,” katanya sambil mengakui bahawa prestasi pemain pertahanan itu jauh lebih baik berbanding dua pemain naturalisasi - Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi.

Dalam pada itu, beliau menafikan tanggapan bahawa dua pemain naturalisasi itu gagal kerana mereka masih belum cukup masa bersama skuad Harimau Malaya, sambil memberikan Mohamadou Sumareh sebagai contoh yang mengambil sedikit masa sebelum mempamerkan prestasi membanggakan bersama pasukan.

"Semalam de Paula hanya terlepas satu peluang, kita kurang mencipta peluang. Tak boleh harap untuk terus jaring gol dalam percubaan pertama apabila bertemu pasukan kuat seperti UAE, sekiranya dapat bermakna kita bertuah.

"Beliau banyak cuba bantu di tengah sehingga lupa tugas hakiki sebagai penjaring gol, apabila banyak main di tengah, lambat nak balik ke posisinya. Mungkin juga kepenatan kerana cuaca panas,” katanya.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Vietnam pada Jumaat depan (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) dalam baki saingan Kumpulan G itu. - Bernama