Tugas Abah makin berat ekoran hantaran media sosial menteri kanan

Iklan
Muhyiddin kebiasaannya akan mempengerusikan mesyuarat kabinet yang diadakan setiap minggu pada Rabu. Bagaimanapun mesyuarat ketika ini difahamkan dijalankan secara online.

INI bukan posting biasa-biasa tetapi ini posting yang dibuat oleh seorang menteri kanan dalam media sosial yang kemudiannya mencetuskan tanda tanya ramai. Apakah benar dalam kabinet wujud perbalahan dan ketegangan mengenai total lockdown.

Apatah lagi tersebar berita yang memetik sumber-sumber sebagai berkata, dua orang menteri berbalah mengenai industri yang dibenarkan membuka operasi dan yang tidak boleh.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, gara-gara hantaran di media sosial Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, itulah maka timbul desas-desus kononnya ada jemaah menteri yang tidak sebulu ketika musim total lockdown ini.

Walaupun sehari kemudian Ismail menafikan, kapsyen ‘Saya dah tutup pintu depan tapi...’ yang diikuti emoji sedih itu, ditujukan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya untuk memaklumkan bahawa beliau mahu pulang dari pejabat. Namun ternyata alasan itu kelihatan agak kurang menyakinkan, malah enggan dipercayai oleh warganet.

Iklan

Mungkin bak kata orang tua, ‘siapa makan cili akan rasa pedas’, apatah lagi kemelut tersebut turut mula diperkatakan rakyat, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mengambil masa lama untuk mengulas.

Namun, enggan memanaskan desas-desus kononnya ada pak menteri tidak senada, Azmin meminta semua pihak tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung hantaran ‘Saya dah tutup pintu depan tapi...’ itu.

Iklan

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila sebuah portal malam kelmarin mendakwa mesyuarat kabinet sebelum ini memang agak tegang. Portal tersebut mendakwa berlaku ketegangan antara menteri yang dipercayai berpunca daripada tindakan saat akhir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengawal permohonan kebenaran untuk operasi syarikat semasa total lockdown.

Sejauh mana kebenaran isu pak menteri tidak sebulu, namun apa yang pasti dalam situasi sukar Malaysia ketika ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tugas berat dalam ‘mengamankan’ barisan kabinetnya selain menjadi ‘panglima perang’ dalam perjuangan melawan Covid-19.

Dengan rakyat jelata amat memerlukan informasi yang tepat mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) selain proses suntikan vaksin secepat mungkin, Muhyiddin yang dipanggil abah dan kabinetnya perlu dilihat kukuh serta padu.

Majlis tindakan

Mengulas mengenai desas-desus kabinet tidak sebulu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, salah satu jalan keluar adalah dengan menubuhkan Majlis Tindakan Covid-19 Kebangsaan yang akan dipengerusikan Muhyiddin sendiri.

Majlis seperti itu akan lebih efektif dalam mendepani Covid-19 sekali gus memulihkan semula reputasi kerajaan di mata rakyat.

Menurut beliau, kewujudan majlis sedemikian juga bukan sesuatu perkara baharu kerana ia pernah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berdepan krisis kegawatan ekonomi pada 1997.

"Jadi semasa negara berdepan krisis Covid-19 kali ini, model seumpamanya iaitu Majlis Tindakan Covid-19 Kebangsaan dilihat sebagai platform terbaik untuk diformulasikan semula bagi menghimpunkan barisan pemimpin utama supaya segala keputusan dapat diselaraskan sebaik mungkin setiap hari tanpa gagal.

"Dalam aspek ilmiah akademik, jika sudah ada perspektif negatif terhadap kerajaan seperti ini dalam kalangan rakyat, maka saya fikir sudah tiba masanya Majlis Tindakan Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan segera.

"Kewujudan majlis sedemikian bagi meneliti data, mengadakan SOP tepat untuk mengelakkan kecelaruan dan perbalahan mengenai Covid-19 juga haruslah bersidang setiap hari supaya ia bukan saja menghimpunkan pendapat, malah dapat menganalisa data terkini, menyediakan satu kerangka tindakan dan badan perundingan serta mengesyorkan saranan produktif sekali gus mengambil tindakan serta-merta,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Md Shukri, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mana-mana menteri berbalah lebih-lebih lagi akibat perseteruan itu ada gerakan yang mendesak supaya Azmin berundur diri atau melepaskan jawatan akibat kecelaruan arahan yang berbeza-beza.

"Saya berpendapat, ini bukan lagi masa untuk bertindak sendirian terutamanya mana-mana kementerian terlibat, sebaliknya semua harus berada di bawah satu Majlis Tindakan Covid-19 Kebangsaan yang sama. Malaysia sememangnya hero dalam hal pengurusan selama ini, tetapi mengapa pada hari ini kita melihat ia seolah-olah bukan satu aspek yang diberi perhatian sewajarnya.

"Urusan birokrasi seperti ini sepatutnya harus dipermudahkan dan tidak boleh serahkan secara sendiri yang hanya dipelopori kementerian tertentu. Senario ini jelas sesuatu yang tidak baik kerana ia menyebabkan rakyat dan industri keliru,” jelasnya.

Uji kemampuan

Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib pula berpandangan, cabaran terbesar negara dan rakyat mendepani impak Covid-19 bukan saja melibatkan kesihatan mental, bahkan turut merangkumi aspek politik dan sosioekonomi kerana majoriti rakyat dilihat terkesan sama ada dari aspek pendapatan, bisnes serta perubahan norma hidup.

Pada masa sama, jelas beliau, pasca Covid-19 juga bukan saja menguji kemampuan Muhyiddin, malah semua Perdana Menteri seantero dunia.

"Saya berpandangan ketidakseragaman SOP ini sebenarnya bukan perbalahan sesama menteri tetapi berlaku kesenjangan daripada segi penyelarasan, informasi dan peraturan.

"Langkah terbaik adalah menyemak dan menyelaras semula peraturan sedia ada supaya sesuai untuk kefahaman semua.

"Anomali ini juga boleh diuruskan dengan aman dan baik tanpa perlu diperbesarkan sebagai satu perbalahan.

"Dalam keadaan semua harus bekerja dari rumah, saya juga merasakan sebarang persidangan sesama menteri termasuk sidang Parlimen juga boleh dilaksanakan secara virtual memudahkan dialog pertemuan dan keputusan dilakukan segera demi kepentingan rakyat,” ujarnya.