BIARPUN negara kita sedang hebat bergelut dengan pandemik Covid-19 dan rakyat pula semakin terhimpit di antara krisis kesihatan yang membimbangkan dan prestasi ekonomi yang kian menguncup, Malaysia tetap tidak pernah sunyi daripada gegak gempita kecelaruan politik oleh sang politikus.
Yang nyatanya, rakyat sudah kepenatan dengan percaturan sang politikus yang kemaruk kuasa berbanding berminat untuk membincangkan soal keluh-kesah rakyat di bawah waima sehingga artikel ini ditulis pun, Parlimen masih tidak dibuka.
Prestasi kerajaan yang flip-flop dewasa ini juga semakin hebat dikritik rakyat. Semua perkiraan ini menjadikan dinamika politik tanah air tidak terhenti begitu sahaja malah ada kalanya semakin panas dan sarat dengan drama.
Dalam konteks ini, komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA juga tidak terkecuali daripada jentikan segelintir pemerhati politik yang melihat parti ini sudah hilang taringnya dan lebih radikal, ada yang beranggapan MCA sudah lenyap dari radar politik tanah air.
Walaupun pada peringkat awal penubuhan MCA adalah lebih ke arah persatuan kebajikan namun atas dasar perjuangan yang lebih besar dan holistik, MCA telah berganding bahu bersama UMNO dan MIC membentuk Parti Perikatan dan menggembleng tenaga untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu ‘Demi Kemerdekaan’ dan kebebasan daripada penjajah British di Tanah Melayu. Sejak itu, UMNO, MCA dan MIC telah menjadi payung kepada kemajmukan dan perpaduan masyarakat di Malaysia.
Ironinya, walaupun parti yang berlogokan kapal layar ini dibubar dan kemudiannya digantikan dengan gabungan parti BN yang bertemakan dacing, MCA masih tetap kekal setia dan istiqamah sehinggalah ke hari ini biarpun adakalanya ada ombak yang membadai pantai.
Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 memberikan isyarat awal mengenai penolakan rakyat apabila BN buat pertama kali dalam sejarahnya hilang kuasa majoriti 2/3 di Parlimen, malah ketika itu ada pihak yang beranggapan keputusan tersebut lebih teruk berbanding prestasi Parti Perikatan pada pilihan raya tahun 1969.
Populariti BN juga terus merundum pada PRU13 apabila generasi muda mula menuntut perubahan kerajaan yang selama ini dikuasai BN. BN mulai gagal mengawal persepsi yang dimainkan oleh parti pembangkang sebagai kerajaan korup dan tidak bermoral.
Tempiasnya juga turut dirasai MCA, apabila parti tersebut merekodkan kekalahan terbesar dalam sejarah penubuhannya apabila hanya memperoleh satu kerusi di Parlimen dengan peratusan kemenangan 0.45 peratus daripada jumlah kerusi yang ditandingi. Maka persoalan utama mulai timbul, adakah MCA sudah tidak relevan dan apakah punca di sebalik kejatuhan populariti MCA/BN dalam kalangan rakyat?
Relevan atau tidaknya MCA hanyalah sekadar pendapat dan bersifat subjektif. Sehingga kini, MCA kekal komited dan konsisten dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di kawasan mereka.
Populariti MCA dan BN juga dilihat kian pulih, terutamanya apabila BN dan Muafakat Nasional (MN) berjaya memenangi tujuh daripada 12 pilihan raya kecil yang telah diadakan sejak PRU14, termasuk Tanjung Piai yang dimenangi MCA dengan peningkatan undi yang mendadak daripada masyarakat Cina.
Walaupun, akronim MCA itu sendiri merujuk kepada Malaysian Chinese Association tetapi MCA sudah cukup terbiasa dengan semangat kebersamaan, toleransi dan setiakawan yang diwarisi dan dipupuk melalui BN.
Pada pandangan kebanyakan orang Melayu, MCA adalah sebuah parti yang lebih diterima berbanding DAP. Walaupun DAP sering berselindung di sebalik laungan ‘Malaysian Malaysia’ yang dibanggakan mereka, tetapi realitinya DAP lebih cenderung dianggap sebagai sebuah parti yang cauvinis dan hipokrit.
MCA juga tidak terdesak menukar orientasinya sebagai ekstrem seperti DAP hanya semata-mata untuk menarik hati pengundi. MCA juga bukan sebuah parti yang perlu apologetik dalam perjuangan mereka untuk membela nasib masyarakat Cina jika dibandingkan dengan DAP yang hipokrit dan berselindung di sebalik propaganda ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi prinsip asas mereka.
* Rizal Johan ialah seorang pelajar pascasiswazah di sebuah universiti awam tempatan dan mempunyai minat yang mendalam mengenai isu semasa