SHAH ALAM - Permintaan pelitup muka jenis fabrik semakin meningkat berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka berganda bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai mula mendapatkan pelitup muka jenis itu selepas pengumuman tersebut Sabtu lalu.
Seorang suri rumah, Afiqah Halim, 27, berkata, dia mula mendapatkan pelitup muka berganda dengan lapisan fabrik selepas jumlah kes harian Covid-19 meningkat.
Menurut Afiqah, dia juga membeli pelitup muka itu untuk suaminya yang bekerja sebagai juruvideo yang terpaksa berdepan dengan orang ramai,.
"Pemakaian pelitup muka berganda lebih sesuai dan dapat mengurangkan risiko jangkitan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun Afiqah mendakwa, penutup muka jenis fabrik sukar didapati secara dalam talian.
Dalam pada itu, pelitup muka jenis KN95, N95 dan pelindung muka (face shield) masih mendapat permintaan daripada pelanggan.
Seorang pekerja farmasi yang ingin dikenali sebagai Chan berkata, pelanggan mula berkunjung ke premis berkenaan untuk mendapatkan pelitup muka berganda selepas KKM memberitahu maklumat berkenaan.
"Sebelum ini pelanggan hanya membeli pelitup muka tiga lapis dan stok untuk barangan tersebut sentiasa ada.
"Sejak KKM menyarankan pemakaian ‘double face mask', kami perlu menambah stok bagi pelitup muka fabrik yang sebelum ini kurang mendapat perhatian daripada pelanggan,” katanya kepada SInar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Noor Liana Yuri Mahir Yamahara, 22, yang menjual pelitup muka jenis fabrik satin turut menerima permintaan tinggi daripada pelanggan dalam talian.
Ujarnya, hasil jualan pelitup muka yang dijahit meningkat sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pengumuman KKM.
"Disebabkan itu, saya mengambil masa empat jam sehari untuk menjahit pelitup muka tersebut dan mampu menghasilkan sehingga 20 helai dalam sehari,” katanya yang melakukan perniagaan tersebut secara sambilan.