Haiqal tak sabar kembali gegar trek

Iklan
Muhammad Haiqal (tengah) meraih pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

JAGUH pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi mengakui teruja untuk menyertai kejohanan kompetitif pertama pada tahun ini selepas penangguhan beberapa pertandingan domestik dan luar negara berikutan penularan Covid-19.

Menurut Muhammad Haiqal, sudah menjadi impian semua yang bergelar atlet termasuk dirinya untuk menyertai sesuatu pertandingan setelah sekian lama menjalani latihan.

Iklan
Iklan

"Ini merupakan kejohanan pertama saya untuk tahun ini, jadi sememangnya saya amat teruja kerana sekian lama tidak dapat menyertai sebarang pertandingan berikutan penangguhan beberapa kejohanan kerana pandemik Covid-19 selain masalah kecederaan.

"Sejujurnya, sebagai atlet sememangnya kami memerlukan pertandingan untuk menguji sejauh mana prestasi diri setelah sekian lama berlatih tambahan pula apabila kurangnya pertandingan pada tahun ini.

Iklan

"Pertandingan ini penting sebenarnya kepada atlet itu sendiri kerana prestasi di sesuatu kejohanan itu secara tidak langsung membolehkan mereka menilai sejauh mana kemampuan diri mereka,” katanya.

Mengulas sama ada Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula Selasa lalu hingga 14 Jun ini menjejaskan sesi latihan hariannya, Muhammad Haiqal berkata, dia pada ketika ini tidak berdepan masalah untuk menjalani latihan seperti biasa.

Iklan

Malah, menurutnya, dia masih boleh turun berlatih ke gelanggang seperti biasa, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sesi latihan kami berjalan seperti biasa pada sebelah pagi dan petang, cumanya sekarang kami atlet perlu lebih berdisiplin dalam pematuhan SOP yang ditetapkan.

"Dulu masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama memang terkesan sedikit bukan hanya saya tetapi juga atlet lain pada ketika itu terpaksa berlatih fizikal di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan akan menghantar 11 atlet menyertai Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Kazakhstan dari 19 hingga 20 Jun depan setelah mendapat lampu hijau daripada kerajaan Kazakhstan dan penganjur pertandingan.

Atlet negara yang dijangka menggalas cabaran di Almaty ialah jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Andre Anura Anuar, Abdul Latif Romly (lompat jauh), Khairul Hafiz Jantan (200 meter), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki); Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar); Muhammad IIham Suhaimi (400 meter); Choo Kong Ni (lempar cekera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Namun, Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

"Permohonan KOM untuk menghantar 11 atlet ke kejohanan di Kazakhstan telah mendapat kelulusan kerajaan dan penganjur kejohanan, cumanya pada masa ini KOM masih menanti respon daripada MKN menerusi permohonan yang telah dihantar melalui Majlis Sukan Negara (MSN).

"Biarpun ini peluang terbaik untuk atlet negara beraksi pada kejohanan kompetitif luar negara pertama, namun suka saya jelaskan di sini KOM akan memberi perhatian serius kepada aspek pematuhan SOP demi keselamatan dan kesihatan atlet," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.