Lelaki OKU rentung dalam kebakaran

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebelum mayat mangsa ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Bakiau, Keningau.

KENINGAU - Seorang lelaki warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Bakiau, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Amburus Antougou, 65, dipercayai tidak sempat diselamatkan anak lelakinya kerana keadaan api yang semakin marak.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa yang tinggal bersama anaknya yang berusia 45 tahun ketika itu sedang tidur di dalam rumah.

"Anak mangsa dikatakan cuba menyelamatkan bapanya namun tidak berjaya kerana api ketika itu sudah terlalu marak.

Iklan

"Anak mangsa juga tidak dapat memastikan punca kebakaran atau api bermula dari bahagian mana ketika itu memandangkan hanya menyedari kejadian selepas api memusnahkan hampir keseluruhan rumah," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Shahrudin berkata, mangsa adalah seorang OKU yang tidak mampu berjalan dan mayat mangsa ditemui di dalam bilik tidur.

Iklan

"Kejadian hanya membabitkan sebuah rumah dan rumah jiran yang berhampiran terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa dan terletak di seberang sungai.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.