Mampan gerakkan 70 sukarelawan bantu program vaksinasi

Iklan
Sukarelawan Mampan membantu membawa warga emas menggunakan kerusi roda untuk masuk ke ruang yang disediakan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Balok di sini, pada Sabtu.

KUANTAN - Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) menggerakkan 70 ahlinya bagi membantu kerja-kerja sukarelawan vaksinasi Covid -19 di 11 klinik kesihatan sekitar Kuantan bermula Sabtu.

Sukarelawan Mampan terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara yang kini berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

Yang Dipertuanya, Syed Amirul Rosyid Sy Mohd Sukri berkata, perkhidmatan sukarelawan itu bertujuan membantu petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan melancarkan proses vaksinasi untuk rakyat negeri ini.

Menurutnya, sukarelawan Mampan berperanan membantu proses pendaftaran, menunjuk arah, mengiringi penerima warga emas dan memberi penjelasan berhubung kepentingan suntikan vaksin bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Iklan

"Perkhidmatan ini bermula pada Sabtu dan sehingga tamat fasa kedua proses vaksinasi yang dijangka pada Ogos depan.

"Buat permulaan, perkhidmatan ini hanya di sekitar Kuantan dan kami berhasrat meluaskannya di daerah lain sekiranya mendapat kebenaran dan ada keperluan berbuat demikian," katanya ketika ditemui pemberita selepas membantu kerja-kerja vaksinasi di Klinik Kesihatan Balok di sini pada Sabtu.

Iklan

Syed Amirul Rosyid berkata, inisiatif yang digerakkan itu mendapat kerjasama Majlis Tindak Sosial Pahang (MTSP), Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dan Yayasan Pahang.

"Aktiviti ini membuktikan bahawa mahasiswa juga aktif dalam aktiviti sosial dan tidak terhad kepada aktiviti di kampus semata-semata," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Balok, Dr Norhayaty Sharman Khamise berkata, pihaknya menyambut baik usaha Mampan membantu petugas menguruskan penerima vaksin di klinik tersebut.

Menurutnya, khidmat sukarelawan yang dihulurkan banyak membantu dan meringankan beban petugas.

"Pada masa sama mereka juga memudahkan urusan penerima terutama dalam kalangan warga emas," katanya.