Jualan YADIMart catat peningkatan 200 peratus

Iklan
Zulkifli melawat YADIMart di Seri Kembangan baru-baru ini.

SERI KEMBANGAN - Pasar raya YADIMart milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berjaya mencatatkan 200 peratus peningkatan hasil jualan sejak dilancarkan April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pencapaian itu amat memberangsangkan untuk jenama baharu seperti YADIMart.

Iklan
Iklan

"Perkembangan jualan telah meningkat 200 peratus sejak YADIMart dilancarkan dengan anggaran RM100,000 ke RM300,000 setiap bulan.

"Bagi sebuah pasar raya baharu beroperasi ini adalah perkembangan yang sangat baik," ujar beliau menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Iklan

Menurut Zulkifli, beliau turut mengalu-alukan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menempatkan produk mereka di YADIMart.

YADIMart menawarkan lebih 5,000 jenis produk yang sememangnya memfokuskan penjualan produk keluaran tempatan, bumiputera, dan muslim.

Iklan

"Bilangan produk IKS yang masuk ke YADIMart telah meningkat 30 peratus. Saya alu-alukan pengusaha IKS untuk menempatkan produk mereka di YADIMart

"YADIMart turut mendapat sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang membekalkan produk mereka di sini," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar Yadim terus cemerlang dalam sektor peruncitan agar dapat membantu masyarakat terutama anak-anak muda daripada kelompok B40.

"Saya telah mengarahkan Yadim melaksanakan segera perkhidmatan pembelian dalam talian serta penghantaran dan saya mahu YADIMart menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda dalam kelompok B40.

"Saya harap Yadim sebagai salah satu agensi di bawah saya dapat mengorak langkah yang lebih cemerlang dalam sektor peruncitan dan membuka lebih banyak cawangan YADIMart di seluruh Malaysia.

Beliau turut berpuas hati dengan bank makanan Yadim yang sentiasa diisi hasil sumbangan para pelanggan YADIMart sendiri dan beliau menggalakkan individu yang memerlukan untuk mengambil barang keperluan tersebut secara percuma.