JELI - Kerajaan dijangka menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.0 dan 7.5 peratus bagi 2021 yang dibuat sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, ini kerana sasaran pertumbuhan KDNK tersebut dijangka tidak dapat dicapai berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh pada masa ini.
Iklan
Iklan
"Sebelum ini, kita menganggarkan (sasaran pertumbuhan KDNK) antara 6.0 dan 7.5 peratus. (Namun), sudah pasti ia (Sekatan Pergerakan Penuh) memberi kesan kepada ekonomi. Sekarang, kita dalam proses mengumpul maklumat.
"Apa yang pasti ialah anggaran yang dibuat sebelum ini tidak akan tercapai. Cuma berapa peratus kurang masih dalam perbincangan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau program capaian bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Rual, di sini pada Sabtu.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kerajaan turut menjangka kesan ekonomi akibat Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan ketika ini tidak akan menyebabkan kerugian yang besar seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lepas.
"Kesan kepada ekonomi pasti berlaku walaupun ada sektor dibuka dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh pada masa ini. Namun, kesan tidak seteruk (semasa PKP 1.0) sehingga mencatat kerugian RM2.4 bilion sehari,” katanya.
Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama yang bermula 1 Jun hingga 14 Jun adalah sebagai langkah untuk melandaikan semula keluk penularan Covid-19 yang kembali melonjak sejak awal April lepas. - Bernama