Polis beri pelitup muka percuma, gantikan kompaun

Iklan
Raub memberikan pelitup muka percuma kepada lelaki yang kurang berkemampuan dan menasihatkannya supaya mematuhi SOP.

SEGAMAT- Tindakan kompaun serta merta biasanya diambil pihak berkuasa bagi individu yang ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun adakalanya pertimbangan kemanusiaan mengatasi segalanya.

Ini terbukti apabila Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat yang mengambil tindakan untuk memberikan pelitup muka secara percuma kepada seorang individu yang kurang berkemampuan.

Iklan
Iklan

Menurut Raub, semasa membuat pemantauan pematuhan SOP di sebuah pasar raya di bandar Segamat kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis lalu, dia telah menemui seorang individu berusia 42 tahun yang termenung di hadapan sebuah pasar raya tanpa memakai pelitup muka.

"Apabila saya dekati dan soal siasat, saya difahamkan dia seorang penganggur dan tidak berkemampuan untuk membeli pelitup muka. Walaupun lelaki berkenaan melanggar SOP, tapi atas pertimbangan kemanusiaan saya tidak kompaunnya, sebaliknya memberikannya pelitup muka.

Iklan

"Saya turut menasihatinya untuk patuhi SOP dan pulang ke rumah. Ini antara dilema yang kita hadapi tapi dalam menjalankan tugas, adakalanya pertimbangan sebegini dibuat kerana tidak semua orang menghadapi masalah yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, beliau berkata, dalam pemantauan berkenaan, sebanyak lima buah pasar raya dan enam buah hotel serta rumah tumpangan telah diperiksa.

Iklan

Pemeriksaan itu katanya, bagi memastikan pasar raya dan hotel yang beroperasi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dalam pemantauan ini, kita dapati empat hotel ditutup dan tidak beroperasi manakala dua hotel beroperasi dan ada penghuni. Kita dapati penghuni di hotel berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang terkandas dan pelajar institusi pengajian tinggi.

"Di pasar raya pula, kita nasihatkan agar pihak pengurusan memastikan penjarakan dan mengawal jumlah pelanggan dengan mengehadkan jumlahnya kepada separuh daripada hari-hari biasa dalam satu masa supaya tidak terlalu padat dan mempunyai penjarakan,” katanya.