Produk PS 21 Capsule dikesan mengandungi racun simvastatin

Iklan
Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional jenama PS 21 Capsule kerana yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu simvastatin, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu telah dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berikutan pengesanan racun berjadual tersebut, yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Iklan
Iklan

"Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

"Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Menurutnya, syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Iklan

Mereka yang sedang menggunakan produk itu juga dinasihatkan supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan ‘advers’.

Orang awam juga digalakkan menyemak status pendaftaran bagi sesuatu produk dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. - Bernama