BAGI seseorang pengarang, ilham sangat diperlukan. Lantaran ilham dapat membangunkan isu dan persoalan yang akan dimuatkan dalam pengkaryaan. Bahan yang akan diungkapkan dalam karya sama ada sesebuah cerpen, novel, sajak atau drama begitu mendambakan ilham sebagai tonggak keutamaan.
Ya, kalau mengikut tradisi Barat, ilham merupakan idea yang terpasak dalam fikiran. Segugus idea yang dipertaruhkan seseorang penulis untuk dituangkan dalam penulisan.
Namun, menurut tradisi keilmuan Islam, ilham mempunyai ikatan yang sangat akrab antara manusia dengan Tuhan Yang Maha Mencipta. Lantaran ilham merupakan gagasan fikiran yang dikurniakan ALLAH SWT sebagai Ya Fattah (Maha Membuka), Ya Razzak (Maha Pemberi Rezeki) dan Ya Wahhab (Maha Membantu) kepada seluruh hamba-Nya di muka bumi ini dalam mengungkapkan sebuah pesanan dan perutusan.
Hal ini jelas berdasarkan surah as-Syu’ara’, ayat 224-227 yang mengajukan tentang tanggungjawab sebagai seorang pengarang dalam menghantar kebaikan dan kebenaran menerusi pengkaryaan.
Tanggungjawab yang tergalas di pundak seseorang pengarang amat besar kerana hasil karyanya nanti akan ditelaah oleh ramai orang. Apatah lagi jika karyanya kelak akan dibaca oleh generasi muda yang memerlukan sumber inspirasi dan semangat dalam menelusuri kehidupan.
Tentu sahaja isu dan persoalan yang dibangunkan bukan sekadar semata-mata untuk keseronokan dan hiburan bahkan sewajarnya memuatkan sebuah perutusan dengan hidangan keindahan, kebenaran dan kebaikan yang bertunjangkan nilai-nilai kemuliaan.
Musabab itu sebelum memulakan rentak penulisan, seseorang pengarang wajar memasang niat bahawa mesej yang akan disampaikan kelak dapat membawa manfaat yang besar kepada manusia sejagat khususnya anak muda dalam membentuk keperibadian. Lantaran hari ini terlalu banyak masalah sosial yang membelenggu diri anak muda kerana terpengaruh dengan kebobrokan. Lantaran hari ini adab anak muda terhadap golongan tua agak membimbangkan.
Musabab itu Uthman el-Muhammady ada menyatakan bahawa"mana mungkin karya yang suci mampu dihasilkan oleh mereka yang tidak menitikberatkan soal kebersihan hati sedangkan, karya yang"hidup” perlulah lahir daripada jiwa yang"hidup” dan mampu membangunkan jiwa-jiwa yang tandus,” perlulah dijadikan renungan.
Para pengarang sewajarnya menyanjung ilham sebagai tunjang menghantar segugus iktibaran yang memperkukuh hubungan manusia dengan Tuhan, bukan yang mengajak manusia kepada bongkah keangkuhan dan kealpaan terhadap nilai keluhuran dan kemurniaan.
Fikirkan apakah natijah yang akan terjadi sekiranya karya yang buruk dengan dominasi watak-watak jahat dipersembahkan kepada khalayak dengan leluasa tanpa tapisan. Bayangkan apakah nasib anak muda yang kerap menonton dan membaca tentang persoalan cinta membuta tuli, konflik hubungan antara lelaki dan wanita bukan muhrim, plot adegan ranjang dan babak cumbuan yang tentunya mencalar keperibadian kemuliaan.
Renungkan apakah kesan terhadap generasi kini yang sering disogokkan dengan tajuk novel yang menggunakan bahasa slanga, berbaur lucah, pemilihan kata yang mencolok mata dan mengiurkan. Secara misalnya ada karya yang berjudul"Sperma Cinta”,"Kelibat Setan”,"Babi Bercinta di Balik Api”,"Skandal Libero”,"Santet”,"Sengih Kerang”,"Alergi Mamat Romantik”,"Awek Chuck Taylor”,"Playboy Itu Suami Aku?”,"Isteri Untuk Disewa”,"Mr. Stalker, Saya Cintakan Awaklah” dan pelbagai lagi yang begitu menggusarkan.
Seolah-olah dunia kesusasteraan Melayu ketandusan bahasa yang indah, dan persoalan semasa yang hanya semata-mata berlegar tentang cinta badani dengan ramuan kejelekan dan kebobrokan. Walhal kosa kata bahasa Melayu sarat dengan seni yang indah untuk dikemukakan malahan warisan leluhur nenek moyang banyak untuk dibentangkan dalam pengkaryaan sebagai khazanah ketamadunan. Perhatikan tajuk novel seperti"Daun Pun Berzikir”,"Bulan Berbisik”,"Ketika Cinta Bertasbih”,"Bulan dan Matahari”,"Di Kaki Pelangi”,"Aroma Bunting Padi” dan lain-lain yang berusaha mengusulkan ketenteraman dan keamanan.
Menyedari hakikat bahawa ilham merupakan milik dan kepunyaan ALLAH Ya Musawwir (Yang Maha Pereka Bentuk), Ya Khaliq (Yang Maha Pencipta) dan Ya Badi’ (Yang Maha Mengadakan) seluruh isi dunia dan kehidupan, maka sewajarnya pengarang khususnya anak muda yang baharu bergulat dengan penulisan perlu mempersiap diri dengan ciri-ciri keperibadian unggul sebelum mempotret watak yang dapat mendidik pembaca dalam tulisan.
Usah sesekali menyalahgunakan ilham yang dianugerahkan Tuhan. Usah sesekali membiarkan ilham kejelikan bermaharajalela dalam benak fikiran.
Carilah karya sastera yang menuangkan selonggok wangian yang dapat membuka cakerawala fikiran. Berusahalah mendapatkan karya sastera yang mengungkapkan barisan madah yang mengajak pembaca kepada tingginya keilmuan. Misal sahaja karya sastera yang dinobatkan sebagai pemenang hadiah, sayembara, pertandingan, peraduan untuk memperelokkan budi dan akal renungan.
Ayuh para pengarang, manfaatkan ilham yang dianugerahkan Tuhan untuk kesejahteraan dan keamanan dunia sejagat, bukan untuk kemasyhuran dan keghairahan yang menjeratkan dan melalaikan. Lantaran sarat amanah sebagai seorang pengarang dan khalifah di muka bumi Tuhan di bahu tersandang.
Perhatikan ungkapan Tenas Effendy"apa tanda kerja bermanfaat, memegang sunnah mengikut adat, banyak faedah besar manfaat, dunia akhirat beroleh rahmat”, dan"elok kerja yang berfaedah, berat dan ringan tiada berbeda, niatnya lurus membawa berkah, manfaatnya dirasa tua dan muda” dijadikan sebagai suri tauladan!
* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia