SHAH ALAM - Tiada sebarang kontrak atau bayaran dikenakan kepada pengguna pelan YES milik YTL Communications di bawah inisiatif Jaringan Prihatin bagi golongan B40.
Pengarah Urusan YTL Communications Sdn Bhd, Datuk Yeoh Seok Hong menjelaskan bahawa dakwaan wujud unsur paksaan supaya orang ramai mendaftar pelan tersebut juga adalah tidak benar.
Menurutnya, penerima pelan dan telefon pintar yang ditawarkan YES di bawah inisiatif Jaringan Prihatin adalah berdasarkan pendaftaran yang diterima pihaknya.
"Lebih 600,000 golongan B40 telah berdaftar dan mendapatkan tawaran YES. Kami tidak mengenakan sebarang kontrak mahupun bayaran kepada golongan ini,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan spesifikasi peranti diberikan tidak mampu menampung atau mengemas kini perisian terkini.
"Terdapat kes pengguna mahu membatalkan pakej dengan YES kerana mahu mendapatkan telefon pintar lain ditawarkan pihak lain. Namun apabila mengetahui terdapat bayaran tambahan diperlukan, mereka tidak mampu dan mahu mendaftar semula dengan YES,” jelas beliau.
"Kita percaya ada usaha daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan imej YES kerana pakej ditawarkan dapat sambutan.
"Kita sedia menerima sebarang aduan melalui pusat khidmat pelanggan. Sebarang isu berbangkit akan diselesaikan sebaiknya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna dakwa dapat telefon ‘cikai’