PETALING JAYA - Peniaga yang menjual menu sarapan merayu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya dibenarkan beroperasi seawal jam 6.30 pagi berbanding jam 8.00 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, ramai dalam kalangan peniaga mengeluh berikutan pendapatan mereka terjejas teruk susulan operasi perniagaan bermula pada jam 8 pagi.
Iklan
Iklan
"Waktu operasi ditetapkan sangat singkat dan tidak masuk akal kerana pelanggan biasanya akan membeli makanan awal pagi sebelum waktu bekerja.
"Rata-rata peniaga di tepi jalan memberi cadangan waktu perniagaan diawalkan pada jam 6.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.
Sehubungan itu, katanya, beliau berharap KPKT memberi pertimbangan wajar bagi membantu golongan peniaga tersebut.
"Hasil temubual saya bersama peniaga kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mendapati (pendapatan) mereka terkesan.
"Saya harap pihak menteri KPKT memberi peluang kepada peniaga kecil ini yang merosot teruk pendapatan mereka dengan (mempercepatkan) waktu bermulanya perniagaan,” katanya lagi.