IPOH - Sebuah kilang membuat sarung tangan di Kamunting, Taiping yang masih dalam pembinaan disita selepas dikesan beroperasi tanpa kebenaran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, ketika pemeriksaan mengejut yang dijalankan pihaknya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Perak pada Sabtu mendapati kilang tersebut sedang beroperasi dengan lapan orang pekerja bagi aktiviti pengeluaran sarung tangan termasuk aktiviti pembungkusan bagi tujuan pasaran.
Menurutnya, premis tersebut sebelum ini pernah menerima notis larangan beroperasi daripada JKKP Perak pada 27 Mei lalu kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelulusan JKKP namun mereka masih beroperasi.
"Premis tersebut beroperasi dengan dua pepasangan 'dipping line' dan empat pemasangan Jentera Berperakuan yang masih belum mendapat kelulusan pendaftaran untuk beroperasi di sebahagian tapak pembinaan premis yang telah siap dibina.
"Premis juga telah beroperasi sebagai kilang tanpa mendapat kelulusan daripada pihak JKKP. Tindakan menyita semua Jentera Berperakuan yang terlibat daripada beroperasi telah diambil serta-merta," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.
Sementara itu, Zamzurin berkata, susulan pemeriksaan tersebut juga mendapati terdapat tiga kontraktor terlibat bagi pembinaan kilang tersebut.
Menurutnya, dua kontraktor tidak beroperasi menjalankan aktiviti pembinaan manakala satu kontraktor lagi beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Jelasnya, tapak pembinaan yang dikesan tidak memiliki perakuan pendaftaran daripada pihak CIDB itu juga diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta.
"Siasatan lanjut akan dijalankan dan tindakan perundangan akan dikenakan sekiranya didapati terdapatnya ketidakpatuhan dan pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Peraturan-peraturan di bawahnya.
"Kita beri amaran kepada majikan untuk mematuhi Notis Larangan yang dikeluarkan oleh jabatan atau tindakan sita ke atas premis akan diambil terhadap majikan jika masih berdegil dan ingkar dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh JKKP," katanya.
Pada 1 Jun lalu, seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan di kilang berkenaan dikenakan kompaun RM50,000 kerana gagal mengadakan pelan mengangkat (lifting plan) dalam pengendalian kren bergerak.
Kompaun dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak itu hasil pemeriksaan mengejut dalam Operasi Tapak Bina pada 31 Mac lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus projek syarikat binaan dikompaun RM50,000