SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menafikan dakwaan yang tular menerusi media sosial bahawa pihaknya menjual vaksin kepada rakyat di negeri itu melalui Invest NS.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata, vaksinasi yang diberikan kepada rakyat negeri itu adalah percuma melalui pusat pemberian vaksin, hospital awam, klinik kesihatan dan hospital serta klinik swasta.
Iklan
Iklan
"Saya menegaskan di sini bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Invest NS (dahulunya dikenali sebagai Negeri Sembilan Investment Centre (NSIC) adalah tidak benar dan dinafikan sekeras-kerasnya kerana dikeluarkan tanpa mendapatkan kebenaran, pandangan dan tanpa pengetahuan saya sebagai Exco Kesihatan Negeri Sembilan.
"Kenyataan yang menyatakan pakej vaksin yang diberikan dengan harga RM380 dua dos dengan bayaran 50 peratus sebagai pendahuluan dan 50 peratus bayaran sebelum penerimaan vaksinasi dengan mengisi ‘Google Form’ adalah untuk membuat 'survey' kononnya, adalah juga tidak berasas," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Veerapan berkata, seramai 486,200 individu di negeri itu telah mendaftar vaksin Covid-19 dengan 79,872 individu telah menerima dos pertama manakala 56,202 orang telah melengkapkan dua dos vaksin setakat Rabu lalu. - Bernama
Artikel Berkaitan