One City janji tidak laksanakan persetujuan penghakiman

Iklan
Sidang media One City
SHAH ALAM - Pemilik tanah kuil Sri Maha Mariamman, One City Development Sdb Bhd (One City) berjanji tidak akan melaksanakan persetujuan penghakiman yang dimeterai pada Mac 2014 sehingga permohonan injunksi kedua-dua pihak diputuskan Mahkamah Tinggi, Januari depan.

Peguam One City, Brenda Chan Qing Wen berkata, aku janji itu diserahkan kepada Mahkamah Tinggi di dalam hujahan bertulisnya semalam.

Hakim, Hakim Wong Kian Kheong menetapkan 11 Januari 2019 untuk mendengar permohonan injuksi tersebut.

Penganut Hindu, M Ramachandran, J Harinthran, K Mariamah, N Munusamy, K Ellamma, A Retna Devi, A Luxami, S Jayaraman, S Krishnan dan S Ramesh selaku plaintif pertama hingga ke 10 dan mewakili 40 penganut kuil Sri Maha Mariamman yang lain memfailkan permohonan itu pada 21 November lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi menerusi Messrs Vas & Co.

Pengurus kuil, K Chellappa, Sime UEP Properties Bhd, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor, Kerajaan Selangor, One City, N Merganathan dan M Negaraju dinamakan sebagai defendan pertama dan ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, plantif- plaintif memohon perintah injuksi bagi menghalang One City, ajennya atau pekerjanya daripada menghampiri kuil bagi tujuan perobohan.

Mereka turut memohon perintah penggantungan terhadap perlaksanaan writ pemilikan yang bertarikh 14 November 2017 sehingga keputusan dimuktamadkan.