PASIR MAS - Sebanyak 11 premis perniagaan di Kelantan dikompaun RM10,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh dalam tempoh bermula 1 Jun hingga Sabtu.
Kompaun yang membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM110,000 dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menerusi operasi pematuhan SOP di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, kesemua kompaun itu melibatkan premis perniagaan di bawah seliaan agensi berkenaan.
"Daripada jumlah tersebut, Kota Bharu menjadi penyumbang terbanyak kepada kegagalan pematuhan SOP diikuti Pasir Mas, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dilakukan kebanyakan premis ini gagal menyediakan laluan keluar masuk dengan betul sebagaimana ditetapkan.
Tambahnya, KPDNHEP Kelantan akan terus turun padang untuk memastikan aspek pematuhan SOP diikuti dengan baik.
Mengulas mengenai kompaun itu, Azanizam Affendi berkata, ia lebih bersifat untuk mendidik.
Katanya, KPDNHEP Kelantan berharap peniaga tidak mengambil mudah SOP supaya pandemik Covid-19 berjaya diputuskan.