BARU-BARU ini tersebar dalam grup WhatsApp satu risalah iklan oleh seorang yang mengaku tok bomoh di Bukit Marak, Kota Bharu, berdekatan Sekolah Kebangsaan Puteri Sa’adong yang kononnya mampu merawat Covid-19. Pada risalah itu tertera nombor telefon dua pengamal perubatan tradisional.
Saya tidak pasti sama ada mereka akan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) untuk merawat pesakit Covid-19.
Mereka bagaimanapun membuat tindakan tepat membatalkan rawatan Covid-19 yang telah tersebar kerana ia berisiko tinggi menyebabkan jangkitan virus itu ke atas diri sendiri serta keluarga terdekat. Apatah lagi jika melibatkan varian baharu yang lebih ganas.
Memang tidak salah untuk mengamalkan perubatan alternatif tetapi setakat ini tiada lagi bukti saintifik tentang rawatan secara tradisional untuk Covid-19.
Lagipun Covid-19 merupakan virus yang tersebar melalui titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti apabila individu terbabit batuk, bersin, bercakap, mahupun sekadar bernafas.
Titisan cecair ini boleh menjadi partikel yang besar (droplet) atau partikel yang kecil (aerosol). Seseorang boleh dijangkiti apabila menyedut droplet atau aerosol yang mengandungi virus.
Droplet lebih berat dan biasanya akan jatuh dalam lingkungan jarak satu hingga dua meter manakala aerosol boleh kekal di udara untuk tempoh lebih lama dan bergerak lebih jauh daripada satu hingga dua meter. Kebolehan partikel-partikel ini kekal di udara juga bergantung pada faktor persekitaran seperti aliran udara dan kelembapan.
Dalam dunia perubatan, dakwaan tentang ubat dan vaksin tidak boleh dibuat selagi tiada bukti saintifik yang diperoleh melalui kajian sel sehingga kajian haiwan serta kajian klinikal. Testimoni semata-mata atau kajian yang tidak mengikut metodologi yang betul memang tidak diterima.
Disiplin ini sangat penting kerana sesiapa sahaja boleh mengaku mampu merawat segala jenis penyakit.
Pada zaman serba moden ini, peliknya masih ada yang percayakan bomoh atau dukun. Kehadiran perubatan moden yang bersifat saintifik dan empirikal seiring kemajuan teknologi dilihat tidak menghapuskan perkhidmatan bomoh.
Ada kemungkinan mereka yang memilih rawatan secara perbomohan mempunyai rasa takut dengan rawatan moden, contohnya takut jarum untuk membuat ujian darah.
Perasaan takut sebegini mungkin menyebabkan mereka lebih selesa menggunakan khidmat bomoh. Kalau ambil vaksin Covid-19, sudah pasti dicucuk jarum. Jika jumpa bomoh, mungkin hanya perlu minum air jampi. Selamat daripada jarum.
Begitu juga sekarang kita sudah ada x-ray dan pengimbas CT atau MRI untuk melihat tulang atau sendi dalam bentuk tiga dimensi (3D). Dengan teknologi yang ada, kita boleh melihat tulang mana yang patah dan berapa sudut darjah tulang yang patah daripada mana-mana arah.
Mereka yang patah tangan atau kaki, jika berjumpa bomoh, pengamal perubatan alternatif terbabit akan cuba membetulkan tulang yang patah menggunakan tangan tanpa bantuan x-ray.
Percantuman tulang mungkin tidak sempurna menyebabkan tulang yang sembuh, bengkok atau kurang sempurna. Maka cacat seumur hidup.
Sekiranya anda mempunyai apa jua masalah kesihatan, fikirlah sedalam-dalamnya dan bincanglah dengan pakar sebelum berjumpa bomoh terutamanya selepas dijangkiti virus Covid-19.
Ingat, langkah yang terbaik adalah dengan mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Daftar dan ambil vaksin Covid-19 agar negara kita mencapai imuniti berkelompok apabila sekurang-kurangnya 80 peratus daripada kita mendapat vaksin.
* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia