Permaisuri memasak dari satu kampung ke satu kampung

Iklan
Tunku Azizah memang terkenal dengan kehandalan memasak, malah sering memasak untuk mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan.

"RAJA Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) bukan saja seorang bonda yang penyayang, malah Seri Paduka Baginda juga merupakan anak, isteri dan sahabat yang cukup baik.

"Bagi saya, pesona dan keterampilan Seri Paduka Baginda sememangnya luar biasa serta memiliki pakej lengkap sebagai seorang wanita sejati," demikian cerita Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP), Datuk Ahmad Farid Abd Jalal kepada Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Ahmad Farid yang juga kurator PMNP berkata, pejam celik sudah hampir dua dasawarsa beliau berkhidmat bersama Permaisuri dan banyak pengalaman serta perkara baharu yang dipelajari beliau sepanjang tempoh itu.

"Raja Permaisuri Agong seorang yang amat mementingkan soal kejujuran, keikhlasan dan saling menghormati dalam semua perkara. Memang susah nak jumpa seseorang yang mempunyai keperibadian seperti Permaisuri.

Iklan

"Ini kerana, Permaisuri amat mengambil berat soal sakit pening orang yang berada di sekeliling Seri Paduka Baginda dan sentiasa meluangkan masa untuk datang menziarahi ketika sihat ataupun sakit, dalam susah mahupun senang. Dalam hal ini, Permaisuri tidak pernah memikirkan soal protokol," ceritanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Farid yang pernah menulis buku bersama Raja Permaisuri Agong berjudul Air Tangan Tengku Puan Pahang: Masakan Tradisional serta Tenun Pahang Diraja: A Fashion Tradition berkata, pengalaman bertemu Seri Paduka Baginda buat julung kalinya sekitar 2002 juga masih tersemat utuh dalam kotak ingatan.

Iklan

Ahmad Farid (kanan) menyifatkan Tunku Azizah sebagai wanita yang memiliki pakej lengkap dan sangat mudah mendekati rakyat jelata.

"Jikalau diikutkan, saya hanya merafak sembah memohon izin Permaisuri (pada masa itu Tengku Puan Pahang) untuk bertindak sebagai penaung kepada projek buku masakan Pahang ini, tetapi tidak sangka pula Seri Paduka Baginda menawarkan diri untuk turut terlibat dalam projek buku tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kari kepala ikan kegemaran Seri Paduka Baginda

"Projek yang mengambil masa lebih setahun ini telah berjaya mengumpul lebih 500 resipi rakyat Pahang dan antara resipi itu termasuklah patin masak tempoyak, sambal hitam, gulai asam rom serta banyak lagi.

"Kami memasak dari satu kampung ke satu kampung di kesemua 11 daerah yang kami pergi, termasuklah ke perkampungan orang asli. Biasanya, program memasak akan bermula seawal pukul 9 pagi hingga 10 malam dan kadang-kadang sampai lewat tengah malam.

"Bukan senang nak memasak berjam-jam lamanya tetapi kesemua persiapan memasak termasuklah menyediakan bahan masakan dilakukan sendiri oleh Tuanku," jelasnya.

Ketika diminta mengimbau semula detik istimewa antara beliau bersama Permaisuri, ini jawapan jujur Ahmad Farid.

"Ketika bersantap bersama Yang di-Pertuan Agong, biasanya Permaisuri tidak akan santap sebelum melayan Al-Sultan Abdullah terlebih dahulu termasuklah menyenduk sendiri nasi dan lauk-pauk ke pinggan Yang di-Pertuan Agong.

"Ia bukan sesuatu yang dibuat-buat, Raja Permaisuri Agong telah mendapat didikan yang baik dan diasuh sedemikian semasa dibesarkan di Istana Johor.

"Bagi saya, ia sebagai tanda kasih sayang dan hormat Seri Paduka Baginda kepada suami," ujarnya yang kali terakhir bertemu Raja Permaisuri Agong atas urusan bukan rasmi pada awal Mei lepas

ARTIKEL BERKAITAN: PM sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Istana Negara sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

ARTIKEL BERKAITAN:Agong tunjang negara depani tri-krisis