Jangan jadi orang terakhir terima vaksin

Iklan
Kerajaan menyasarkan penglibatan lebih 1,000 pusat dan klinik perubatan swasta bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan PICK.

JUMLAH pendaftaran vaksin Covid-19 masih rendah walaupun selepas hampir empat bulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

Setakat 5 Jun, hanya seramai 12.6 juta daripada 26.7 juta rakyat Malaysia telah mendaftar program tersebut melalui aplikasi MySejahtera.

Iklan
Iklan

Jumlah tersebut masih jauh dibandingkan dengan keseluruhan jumlah rakyat yang wajar mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada pasukan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kerana konsisten dalam memastikan jumlah pendaftaran meningkat sejak hari pertama program itu dilancarkan.

Iklan

Ketika ini sebanyak 12,683,764 pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui PICK direkodkan iaitu lebih 50 peratus populasi negara yang berusia 18 tahun ke atas.

Jumlah pendaftaran perlu dipertingkatkan bagi memastikan Malaysia bersedia menerima kira-kira 16 juta dos vaksin Covid-19 lagi untuk tempoh dua bulan akan datang.

Iklan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan pertambahan bekalan vaksin tersebut, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 bulan ini.

Kebimbangan sekarang adalah sekiranya jumlah pendaftaran tidak melebihi 80 peratus akhir Ogos nanti kita akan mengalami lambakan vaksin.

Peranan

Ini kerana jumlah vaksin yang diterima dalam tempoh tiga bulan akan datang lebih tinggi dari jumlah pendaftaran vaksin.

Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang mencapai 80 peratus penduduk telah divaksin.

Ini penting bagi memastikan perkembangan ekonomi dan pelancongan kembali beroperasi seperti biasa.

Selagi kita belum mencapai imuniti kelompok, masalah pandemik ini sukar diatasi dan kita masih perlu ‘dipenjara᾿ di rumah.

Imuniti kelompok adalah keadaan di mana ejen jangkitan tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kelompok disebabkan sebahagian besar anggota masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan.

Cara terbaik mencapai imuniti kelompok adalah melalui kesedaran dan pelaksanaan vaksinasi.

Bagi masalah penduduk di luar bandar, diharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan unit bergerak untuk sampai ke kawasan yang kurang pendaftaran vaksin.

Kerajaan menyasarkan penglibatan lebih 1,000 pusat dan klinik perubatan swasta bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan PICK.

Kerajaan turut melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman.

Wakil rakyat juga diharap dapat memainkan peranan besar di kawasan masing-masing bagi memastikan semua penduduk mempunyai akses kepada vaksin.

Sebagai contoh inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat kini menyediakan kemudahan van bagi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat tidak mempunyai kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19.

Langkah terakhir jika masih ramai belum mendaftar adalah kerajaan melaksanakan proses pendaftaran vaksin Covid-19 secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi.

Perdana menteri telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) meneliti semula proses pendaftaran vaksin supaya dapat dipermudahkan.

Kepada mereka yang terpengaruh dengan pelbagai dakwaan negatif terhadap vaksin Covid-19, anda perlu kembali berfikir secara rasional kerana jika anda tidak mahu divaksin, negara tidak mampu mencapai imuniti kelompok.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Islam menuntut dan mewajibkan semua umatnya menjaga keselamatan diri.

Bagi individu yang belum mendaftar, silalah daftar di MySejahtera dengan segera, jangan tunggu vaksin tiba baru nak daftar.

Jika tidak tahu, minta bantuan rakan atau ahli keluarga daftarkan, jangan jadi rakyat Malaysia terakhir belum divaksin!

* Riswandi Razak ialah Web Editor Sinar Harian Online