PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu menunggu rayuan kes melibatkan rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) di mahkamah selesai, sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, kata Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi.
Mengulas pelancaran petisyen dalam talian bagi mendesak rektor Aswara ditamatkan perkhidmatan oleh Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan, beliau berkata sebarang tindakan tatatertib melibatkan salah laku pegawai kementerian, perlu dibuat mengikut prosedur undang-undang.
Iklan
Iklan
"Ini adalah soal perundangan, dan kita perlu melalui dan menghormati proses perundangan tersebut, dan buat masa ini tiada sebarang tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media melaporkan rektor itu sebelum ini pernah diperintah membayar ganti rugi RM70,000 pada bekas pensyarah Aswara atas kesalahan membuat kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual.
Bagaimanapun kes itu masih di peringkat rayuan dan kontrak rektor terbabit telah disambung bermula 17 Jan tahun ini hingga 16 Januari 2021.
Mohamaddin berkata menamat atau menggantung tugas penjawat awam bukanlah satu perkara mudah, kerana semua penjawat awam tertakluk pada undang-undang perjawatan.- Bernama
Artikel Berkaitan