SHAH ALAM - Penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 susulan wabak Covid-19 ketika ini memberikan sedikit kelegaan buat calon peperiksaan awam itu.
Sinar Harian tampil mendapatkan reaksi calon-calon SPM sesi 2021 mengenai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia itu.
Di KELANTAN, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat, Amin Syahmi Azahar, 17, berkata, keputusan itu memberi ruang kepadanya untuk melakukan persiapan lebih rapi sebelum menduduki peperiksaan tersebut.
"Saya akui masih banyak lagi proses ulang kaji yang perlu dilakukan memandangkan pembelajaran secara dalam talian memberikan cabaran terutama dalam memahami apa yang cuba disampaikan oleh guru,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, walaupun sedih dengan penangguhan itu, namun dia anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi oleh semua calon SPM lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik.
Katanya, tempoh dan ruang masa yang ada itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: SPM 2021 dilaksanakan tahun depan
Di NEGERI SEMBILAN, calon SPM dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Nur Hanis Suraya Abdul Rahman, 17, berkata, pada awalnya dia sedikit kecewa, namun selepas memikirkan keadaan negara yang dilanda wabak Covid-19, dia akhirnya akur dengan keputusan kerajaan.
"Sebaik mendengar berita itu, saya sedikit kecewa, namun bila difikirkan balik saya perlu sentiasa positif dan terus maju ke hadapan kerana saya yakin pasti ada hikmah di sebaliknya, insya-ALLAH.
"Janganlah jadikan ini sebagai satu bebanan tetapi jadikan ia sebagai satu cabaran untuk kita semua,” katanya.
Di PERAK, pelajar dari SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah, Wan Ariff Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 17, pula mengakui keputusan itu memberi kelegaan untuknya bersedia menghadapi peperiksaan itu yang bermula Februari dan Mac hadapan.
"Melihat senior ‘pulun’ untuk jawab peperiksaan tahun lepas, saya rasa keputusan kerajaan kali ini tepat dan saya ada banyak masa melakukan persediaan SPM.
"Tambahan pula dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 14 Jun ini, sudah tentu menjadi cabaran kepada saya untuk belajar terutama subjek Matematik.
"Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah masalah liputan internet yang perlahan. Ia memerlukan masa untuk saya belajar dan melakukan persediaan. Bila dilanjutkan, saya rasa lega dan gembira,” ujarnya.
Di PAHANG, pelajar SMK Temerloh, Mardhiatul Laila Yusof, 17, juga mengakui tempoh lebih panjang memberikan sedikit tekanan kepada dirinya.
Namun, anak bongsu daripada enam beradik itu akur dengan penjadualan semula peperiksaan itu berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
"Dengan situasi yang dialami oleh calon SPM 2020 sebelum ini, saya memang nampak kesukaran yang dialami mereka sepanjang tempoh tersebut.
"Bagaimanapun, saya akan bersedia sebaik mungkin dan berusaha untuk meraih keputusan yang terbaik nanti,” jelasnya.
Di KEDAH, Luqman Hazmie Mohamad Mahadi, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini memberitahu, dia setuju dengan keputusan kerajaan kerana kebanyakan calon SPM 2021 belum habis silibus pembelajaran.
Katanya, penangguhan tarikh SPM kepada tahun hadapan membolehkan dia melakukan persediaan yang secukupnya.
Di TERENGGANU, pelajar Madrasah Moden Terengganu, Besut, Muhammad Haikal Hamdan, 17, juga akur dengan keputusan kerajaan.
Anak muda itu memaklumkan, keputusan itu memberi ruang dan peluang untuknya melakukan ulang kaji pelajaran serta membuat persiapan sebaik mungkin.
Di JOHOR, pelajar SMK Dato Penggawa Barat, Pontian, Mohammad Ammar Hakimi Saiful Anuar, 17, berkata keputusan penangguhan itu sudah dijangka memandangkan negara kini masih berdepan dengan penularan jangkitan Covid-19.
"Saya akan memberi tumpuan sebaiknya pada PdPR bagi menghadapi peperiksaan SPM tahun hadapan,” kata Mohammad Amar.
Pada Ahad, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan peperiksaan SPM 2021 akan dilaksanakan pada tahun depan.
Menurut Mohd Radzi, ujian lisan dan amali sains pula akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala ujian bertulis pada Mac tahun depan.