BERGELAR Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, ia tidak pernah menjarakkan Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah serta Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan rakyat jelata.
Daripada makan di atas padang di Kuantan, turun membantu rakyat kemalangan jalan raya, memandu sendiri kenderaan meredah banjir atau singgah di kedai makan tanpa ada protokol.
ARTIKEL BERKAITAN: Ingat dibantu polis, rupanya Yang di-Pertuan Agong
Ramai yang bertuah disapa, dibantu dan berbual berdepan mata dengan Seri Paduka Baginda berdua. Sempena Hari Keputeraan Agong hari ini, rakyat mendoakan kesejahteraan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
ARTIKEL BERKAITAN: Permaisuri memasak dari satu kampung ke satu kampung
Seorang pemilik restoran terharu dengan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila memilih Kari Kepala Ikan Kampung Pandan sebagai kari kegemarannya.
Rizyazullah Abdul Majeed, 45, Pengurus Restoran Kari Kepala Ikan Kampung Pandan berkata, ungkapan tersebut merupakan satu kebanggaan baginya dan peristiwa yang tidak akan dilupakan selamanya.
"Kata-kata yang saya ingat sehingga kini adalah kari kepala ikan merah di Restoran Kari Kepala Ikan sudah menjadi kari kegemaran Seri Paduka Baginda.
"Selepas bersantapan, Seri Paduka Baginda turut membungkus makanan tersebut dan membawa balik ke istana untuk Permaisuri dan orang lain di istana merasai keenakan kari itu.
"Malahan, sehingga kini masih ada pihak istana yang datang untuk membungkus makanan di restoran kami. Ini adalah satu kebanggaan buat saya," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bangga berkhidmat untuk Agong berjiwa rakyat
Seri Paduka Baginda sebelum ini mencuri perhatian apabila berkenan mencemar duli menikmati santapan tengah hari di Restoran Kari Kepala Ikan Kampung Padan pada 24 Januari tahun lepas.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan membayar semua makanan pelanggan lain yang berada di restoran itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah berdekatan premis tersebut.
Malah Seri Paduka Baginda yang sentiasa dekat dengan rakyat, turut menolak tempat khas yang hendak disediakan oleh pihak restoran dan memilih untuk bersantapan bersama orang ramai yang ada di restoran tersebut pada ketika itu.
"Walaupun restoran ini mempunyai bilik khas yang berhawa dingin, Seri Paduka Baginda memilih untuk makan bersama rakyat. Seri Paduka Baginda juga tidak menghalang pelanggan yang baru datang untuk memasuki premis tersebut," katanya.
Rizyazullah juga menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai seorang yang sangat peramah, pemurah dan tidak memilih.
ARTIKEL BERKAITAN:Agong tunjang negara depani tri-krisis
"Sebagai seorang yang pernah berjumpa secara berdepan, sifat Seri Paduka Baginda adalah sangat rendah diri dan mesra rakyat dari segi cara percakapan serta cara bertegur dengan orang awam.
"Saya menyaksikan sendiri Seri Paduka Baginda pergi menyapa setiap pelanggan yang ada di situ dan tidak kekok beramah mesra dengan rakyat.
"Pelanggan yang ada ketika itu juga sangat bertuah kerana Seri Paduka Baginda membayar makanan 100 orang pelanggan yang kebanyakannya baru pulang dari solat Jumaat di masjid berhampiran," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PM sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong
ARTIKEL BERKAITAN: Warga Istana Negara sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong