LIMA - Warga Peru berdepan dua pilihan antara populis haluan kanan Keiko Fujimori dan haluan kiri Pedro Castillo dalam pemilihan presiden baharu pada Ahad.
Pilihan raya berlangsung ketika pandemik Covid-19 masih belum reda di negara itu.
Pemimpin yang bakal dipilih perlu menyelesaikan krisis ekonomi dan kesan pandemik yang teruk di Peru apabila ia mencatat kematian tertinggi dengan 184,000 kes.
Penganalisis berpendapat, pilihan raya pada Ahad bukan penyelesaian tetapi dianggap pertembungan panjang dan tidak berkesudahan di Peru.
Dalam tempoh tiga tahun, empat presiden disabitkan atau disiasat kerana rasuah.
Selain itu, tujuh dari 10 pemimpinnya turut sama disiasat atau disabitkan dengan kesalahan berkenaan.
Kini, warga Peru sekali lagi akan memilih pemimpin baharu untuk mengakhiri pergolakan politik terbaharu itu.
Ketika sengketa politiknya memuncak November lalu, Peru bertukar sebanyak tiga presiden dalam lima hari.
Ditambah pandemik Covid-19, menyebabkan dua juta warga Peru hilang kerja dan hampir satu pertiga rakyatnya kini hidup dalam kemiskinan.
Fujimori, 46 tahun, dan Castillo, 51 tahun, membuat kejutan ketika mendapat dua tempat teratas pada pusingan pertama pengundian pada April.
Dalam tinjauan terbaharu, Castillo mendapat dua mata peratusan melebihi Fujimori.
Bagaimanapun, 18 peratus penduduk masih belum membuat keputusan di negara itu di mana pengundian adalah wajib.
Fujimori, anak perempuan bekas presiden Alberto Fujimori yang dihina dan dipenjara, mewakili model ekonomi pemotongan cukai neoliberal dengan usaha meningkatkan aktiviti swasta bagi menjana pekerjaan.
Manakala Castillo, guru sekolah kesatuan sekerja berjanji untuk menjadikan industri penting sebagai milik negara, menaikkan cukai, menghapuskan pengecualian cukai dan meningkatkan undang-undang negara.
Benteng Fujimori adalah di ibu kota Lima, sementara kubu kuat Castillo adalah di kawasan pedalaman.
Keputusan pilihan raya dijangka diketahui lewat Isnin malam. - Awani