LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak merampas 110 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 3.2 hingga 3.3 batu nautika barat laut muara Sungai Perak di sini pada Ahad.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemasangan bubu itu dikesan ketika pasukan penguat kuasa yang menjalankan rondaan bersepadu di lokasi terbabit kira-kira jam 10.30 pagi.
"Semasa rondaan, bot penguat kuasa mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki penanda bubu naga.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kesemua bubu naga bernilai hampir RM13,200 dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Penggunaan alat peranti memerangkap ikan secara salah dengan menggunakan bubu naga ini dikesan berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.
"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.
Shahrizan berkata, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi untuk pupus.