SEREMBAN - Sebanyak 950 set bakul makanan disediakan untuk penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan yang kurang berkemampuan dan terjejas susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohammad Rafie Abd Malek berkata sebelum ini pihaknya telah mengedarkan 700 set bakul makanan berupa keperluan dapur dan kali ini ditambah sebanyak 250 set bakul makanan.
"Bakul makanan ini adalah bantuan segera ditawarkan oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan untuk keluarga golongan miskin di sini sempena PKP 3.0," katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada Isnin.
Tambahnya, mana-mana keluarga fakir atau miskin yang layak di dalam Dun Ampangan, tetapi masih tidak dihubungi untuk menerima bantuan ini diharapkan dapat menghubungi pihaknya.
"Saya mengingatkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan makanan untuk segera berjumpa atau hubungi Pengerusi MPKK masing-masing untuk menerima bantuan.
"Jangan malu untuk dapatkan bantuan kerana kami sentiasa bersama masyarakat dalam apa jua keadaan," katanya.
Pada 2 Jun lalu, kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan sepanjang tempoh PKP 3.0.
Bantuan berupa bakul makanan itu diagihkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.