CHIANG RAI - THAILAND. Gara-gara mengalami penyakit demensia, seorang ibu berusia 59 tahun berjalan kaki lebih 600km untuk bertemu anaknya yang sebenarnya tinggal berdekatan.
Apa yang mengejutkan, Kaeomanee Arjaw ditemui di China selepas lapan bulan dilaporkan hilang.
Dia berasal wilayah Chiang Rai, ditemui di Kunming, China pada Januari lalu ketika sedang berkeliaran di tepi jalan sambil memegang kad pengenalan Thailand.
Nasibnya baik apabila dijumpai oleh pegawai keselamatan dan membawanya pulang menerusi penerbangan ke Thailand untuk bertemu anaknya, Suchada, 35.
Pertemuan penuh emosi antara ibu dan anak perempuan itu meruntun hati orang ramai yang menyaksikan mereka saling berpelukan erat antara satu sama lain.
Dalam temu bual, Kaeomanee menjelaskan kali terakhir bertemu anaknya ialah lapan bulan lalu ketika dia meninggalkan rumahnya.
"Saya hendak berjumpa dengan anak, saya terus berjalan dan tiada kenderaan di sekeliling," katanya tidak mengetahui lokasinya berada.
Sementara itu, Kolonel Aekkorn Butsabarbodin dari polis Imigresen Chiang Rai berkata, Kaeomanee terselamat kerana dibantu oleh orang ramai yang menghulurkan makanan sepanjang dia berada di China.
"Dia memberitahu pegawai-pegawai bahawa dia pergi ke sana dengan berjalan kaki. Dia terus berjalan, kalau hendak makan, minta belas ihsan di kedai-kedai makan," katanya.
Menurut Suchada, ibunya mengalami penurunan berat badan drastik sebanyak 20 kilogram sepanjang kehilangannya.
"Kami gembira bahawa keluarga ini akhirnya disatukan semula!," kata Suchada. - Daily Mail