Vaksin calon SPM: Lebih selamat tunggu keputusan ujian klinikal

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung saranan supaya calon SPM dan guru diberikan vaksin dengan kadar segera.

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat adalah lebih selamat untuk menunggu ujian klinikal vaksinasi Covid-19 kepada individu bawah 18 tahun selesai dijalankan sebelum meneruskan cadangan supaya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berusia 17 tahun itu diberi suntikan vaksin tersebut.

Ini kerana, pemberian vaksin di Malaysia hanya melibatkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas susulan belum ada bukti saintifik ia selamat untuk kelompok usia bawah 18 tahun.

Iklan
Iklan

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, keputusan ujian klinikal itu penting bagi memastikan ia tidak mengganggu proses pertumbuhan kelompok usia itu.

Dr Hanafiah Bashirun

"Kita bercerita mengenai usia 'fragile' (individu bawah 18 tahun) iaitu usia di mana pertumbuhan sedang berlaku. Kita kena tahu bahawa usia 12 hingga 18 tahun merupakan perubahan daripada kanak-kanak kepada remaja yang mana usia baligh berlaku.

Iklan

"Kita bukan bercerita mengenai demam selesema tetapi suntikan membabitkan nyawa (vaksin) dan komplikasi besar. Jadi bukti saintifik penting.

"Pada saya, kita jangan terlalu tergesa-gesa melakukan sesuatu perkara (beri suntikan vaksin kepada calon SPM) yang kita belum pasti atau sahih mengenai keselamatannya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan supaya calon SPM 2021 wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin Covid-19 bagi membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Segera vaksin guru, calon SPM 2021

Calon SPM, guru wajar disuntik vaksin lebih awal

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, walaupun ada sesetengah negara telah memberi suntikan vaksin kepada kelompok usia 18 tanpa melalui ujian klinikal, namun adalah lebih selamat menunggu keputusan kajian saintifik selesai dilakukan.

Jelasnya, walaupun kes kematian akibat vaksin susulan pembentukan darah beku dan risiko sebelum ini rendah tetapi ia tetap melibatkan risiko.

"Pada saya lebih selamat untuk kita memastikan tahap ujian klinikal lepas dahulu dan kita pastikan ia selamat sebelum vaksinasi kepada usia bawah 18 tahun.

"Memang betul kita mungkin boleh mengurangkan jangkitan kepada calon SPM (sekiranya diberikan suntikan vaksin) tetapi nyawa mereka yang di bawah 18 tahun ini menjadi tanggungjawab besar kita," katanya.

Pada Isnin, Mohd Azizee menerusi satu kenyataan berkata, selain calon SPM, guru yang mengajar kelas Tingkatan Lima juga wajib divaksin secepat mungkin bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah dan membantu calon SPM tahun ini.

Jelasnya, vaksinasi membolehkan pelajar dan guru hadir semula ke sekolah semula terutama bagi sesi pembelajaran yang membabitkan fizikal seperti di makmal sains dan teknologi.