LAHORE - Seorang wanita menemui ajal gara-gara bekas pengawal keselamatan di sebuah hospital di Pakistan menyamar sebagai doktor dan melakukan pembedahan ke atasnya.
Menurut polis, Shameema Begum, 80, meninggal dunia pada Ahad kira-kira dua minggu selepas suspek dikenali sebagai Muhammad Waheed Butt cuba merawat kecederaan pada belakangnya di hospital awam di bandar Lahore.
"Kami tidak dapat mengawasi pergerakan setiap petugas perubatan kerana ia adalah hospital yang besar," ujar pegawai pentadbir di Hospital Mayo tersebut sambil menambah masih tidak jelas prosedur pembedahan yang penyamar itu telah lakukan ke atas mangsa yang turut disertai juruteknik bertauliah.
Difahamkan, keluarga Begum turut membayar kos pembedahan itu kepada Butt dan dua rawatan susulan di rumah untuk mencuci lukanya.
Bagaimanapun, keadaan luka dialaminya semakin teruk dan keluarganya segera membawa wanita itu ke hospital.
Penyamaran Butt akhirnya terbongkar dan pihak hospital mahu melakukan autopsi untuk mengenal pasti sama ada kematiannya disebabkan oleh komplikasi pembedahan tersebut.
"Suspek kini ditahan pihak berkuasa. Hasil siasatan awal mendapati dia turut melakukan kunjungan ke rumah pesakit lain sebelum ini,' ujar jurucakap pihak berkuasa, Ali Safdar.
Sementara itu, kakitangan Hospital Mayo mengesahkan Butt dipecat dua tahun lalu selepas dia didakwa cuba memeras wang daripada pesakit.
Pada awal Mei lalu, seorang lelaki juga ditahan selepas menyamar sebagai doktor di Hospital Besar Lahore dan memeras wang daripada pesakit di wad pembedahan. - AFP